HARI ini kita menyambut Tahun Baharu Hijrah 1447. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk hidup di muka bumi. Dalam keseronokan menyambut tahun baharu dengan ramai juga yang menanam azam, hakikatnya kita semakin menghampiri kematian.
Kematian pula tidak mengenal usia. Apabila sampai tempoh, tidak akan dilambat atau dicepatkan walau sesaat. Benarlah pepatah orang tua-tua dahulu, dengan usia yang makin meningkat, ibarat “rumah kata pergi, kubur kata mari”.
Justeru, apakah persediaan kita untuk menghadapi kematian dan menghadap Allah SWT. Yang sedia maklum, hidup di dunia ini adalah tempat untuk berusaha atau bercucuk tanam.
Akhirat nanti adalah tempat menikmati tuaiannya. Namun, berapa ramai yang masih diperdaya dan dilalaikan dengan kehidupan dunia yang sementara itu.
Allah menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). (al-Ankabut: 64)
Rasulullah SAW turut menggambarkan nisbah kehidupan manusia satu hari di akhirat bersamaan 1,000 tahun di dunia.
Bayangkan betapa lamanya tempoh bakal dihadapi bagi kehidupan akhirat kelak dan ia sepatutnya menginsafkan kita tentang berpada-pada dengan kesenangan dan godaan dunia.
SIBUK DENGAN GAJET
Hidup hari ini, seolah-olah manusia tidak boleh dipisahkan dengan gajet. Ia sudah menjadi keperluan. Pendek kata membeli, berkomunikasi, bermesyuarat, belajar dan sebagainya, semua perlukan telefon bimbit.
Biar tiada wang tunai, asalkan adakan telefon pintar, kita boleh beli apa sahaja. Pelbagai iklan barangan dan perkhidmatan ditawarkan dalam laman-laman sosial. Yang tidak dijual, emak dan ayah sahaja.
Sehingga Oktober 2023, terdapat 5.3 bilion pengguna internet di seluruh dunia iaitu 65.7 peratus daripada populasi global. Daripada jumlah ini, 4.95 bilion, atau 61.4 peratus daripada populasi dunia, adalah pengguna media sosial.
Gaya komunikasi dalam talian ini lebih mesra dengan generasi muda yang mahir teknologi khususnya generasi Z.
Generasi Z lahir antara 1995 dan 2010, mempamerkan beberapa ciri tersendiri. Mereka terkenal dengan kecekapan dalam teknologi, setelah dibesarkan dengan telefon pintar dan internet. Mereka sangat bergantung pada peranti digital untuk berkomunikasi, berhibur dan mendapatkan maklumat.
Di negara kita, kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber 2021/2022 yang dilaksanakan CyberSecurity Malaysia (CSM) dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan dalam tempoh 16 November hingga 3 Disember 2021 menunjukkan kadar ketagihan internet di Malaysia cukup tinggi berbanding kebanyakan negara lain.
Tanda-tanda ketagihan internet yang dikenal pasti adalah tidur lewat, lebih suka bermain telefon pintar berbanding bermain dengan rakan serta marah apabila tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar.
Seramai 16,908 responden di seluruh negara terlibat dalam kajian yang melibatkan 13,953 murid sekolah rendah dan menengah termasuk murid pendidikan khas dan 2,955 ibu bapa.
Walaupun diakui, ada juga sudut positif penggunaan gajet, kajian menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan purata sembilan jam sehari di internet, dengan tiga jam di media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook. (We Are Social, 2024).
Ketagihan melampau skrol tanpa henti ini bukan sahaja membazir masa tetapi juga mengurangkan peluang untuk membaca al-Quran, solat sunat atau berzikir.
Lebih membimbangkan, kajian Pew Research Center (2023) menunjukkan 60 peratus pengguna media sosial terdedah kepada gangguan ketika beribadah, termasuk menangguhkan solat kerana sibuk melayari kandungan digital.
Di negara-negara Arab, membaca al-Quran sambil memegang mushaf adalah fenomena biasa di dalam bas atau pengangkutan awam. Tetapi di negara kita amat jarang dapat melihat atau terserempak dengan golongan seperti ini.
MANFAAT ILMU DI HUJUNG JARI
Dengan kemudahan teknologi, sehingga disebut dunia tanpa sempadan, marilah memanfaatkan internet dan telefon bimbit untuk perkara yang mendatangkan manfaat. Terlalu banyak ruang untuk menambah ilmu dan menyebar kebaikan.
Cuma dalam bab agama, perlukan tapisan. Ini supaya hanya maklumat yang sahih diambil dan amalkan. Malaysia yang mengamalkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), sudah pasti maklumat daripada pihak berkuasa agama atau jabatan mufti negeri-negeri yang menjadi sandaran dan pegangan.
Pastikan, tiada hari tanpa membaca al-Quran. Peruntukkan masa sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk membaca dan mentadabbur ayat-ayat Allah.
Ironinya, kalau boleh habiskan masa dua, tiga jam melayari internet apalah sangat masa yang dibandingkan selama 30 minit untuk membaca al-Quran.
Cubalah contohi Imam Syafie yang dikhabarkan khatam al-Quran sekali sehari. Dalam Ramadan, ulama besar ini mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali seperti yang diceritakan oleh murid beliau, al-Rabi Ibn Sulaiman sebagaman dinukilkan oleh al-Zahabi dalam kitabnya, Siyar A’lam al-Nubala’.
Untuk itu, mari kita letakkan sasaran sekurang-kurangnya khatam al-Quran sekali setahun. Ini tidak termasuk khatam dalam bulan Ramadan. Ia melibatkan cara mengurus masa dengan berkesan agar kita turut berjaya dalam dunia yang serba pantas ini.
Al-Quran beri panduan berharga tentang cara melakukannya. Pengurusan masa melibatkan mengutamakan tugas, elakkan penangguhan dan memanfaatkan sepenuhnya sumber seseorang.
Malah ia menekankan kepentingan menjaga masa, kerana ia adalah anugerah Allah yang berharga. Ini dapat dijelaskan dalam firman Allah SWT: Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti. (al-Kahfi: 23)
Kemahiran pengurusan masa berkesan berdasarkan prinsip al-Quran membolehkan umat Islam optimumkan produktiviti mereka, mengurangkan tekanan dan mencapai gaya hidup yang seimbang.
Allah menunjukkan kelebihan yang diberi ke atas orang yang memelihara dan amanah dengan al-Quran. Ia sebagaimana kisah Nurly Shahirah Azman, 23, antara 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meninggal dunia dalam tragedi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, 9 Jun lalu.
Pemergian allahyarham menarik perhatian ramai baru-baru ini. Mana tidaknya, Nurly Shahirah bukan sahaja seorang hafizah malah dikatakan memegang kitab suci itu ketika menghembuskan nafas terakhirnya.
Abangnya, Mohd. Najmuddin Azman, 28, berkata, adik bongsunya itu sering mengamalkan bacaan kitab suci al-Quran setiap malam sejak kecil.
“Antara tahriri koleksi arwah. Arwah suka mengulang al-Quran. Arwah juga tulis satu al-Quran guna tangan untuk kuatkan hafalannya. Berpusu-pusu media menghubungi aku, dik. Tanya apa amalan kau, dik,” ujar Najmuddin.
Bagi kita yang masih hidup, janganlah diperdaya dan dilalaikan dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Buatlah amal kebaikan untuk bekal hari akhirat. Salam Maal Hijrah.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










