TELUK INTAN: Pemilik syarikat lori terlibat nahas yang menyebabkan sembilan anggota Pasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) maut dalam kemalangan Mei lalu terkejut apabila mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana tidak hadir prosiding kes itu di sini kelmarin.
Lelaki berusia 57 tahun yang enggan dikenali itu berkata, ini kerana sehari sebelum prosiding kes, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menghubunginya dan memberitahu dia tidak perlu hadir ke mahkamah di sini.
Menjelaskan lebih lanjut, lelaki itu memberitahu pada pagi Isnin lalu, dua pegawai JPJ Teluk Intan datang menemuinya di Sungai Besar, Selangor bagi menghantar saman kepadanya untuk hadir ke mahkamah di sini kelmarin, bagi tujuan pendakwaan.
Menurutnya, berikutan itu dia menghubungi peguamnya dan mereka bersetuju untuk hadir ke mahkamah.
“Namun pada petang Isnin, pihak JPJ Teluk Intan menghubungi saya dan memberitahu saya tidak perlu ke mahkamah pada Selasa. Pegawai tersebut memberitahu dia akan memaklumkan kepada saya tarikh baharu untuk saya hadir ke mahkamah.
“Saya memberitahu peguam dan peguam berkata, jika begitu kena tunggu tarikh baharu yang akan ditetapkan untuk mereka ke mahkamah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sungai Besar, Selangor semalam.
Lelaki itu berkata, pada kira-kira pukul 9 pagi kelmarin, pihak JPJ menghubunginya dan meminta dirinya ke mahkamah Teluk Intan pagi itu juga.
Menurutnya, dia menghubungi peguamnya namun peguamnya ada urusan lain dan mereka tidak dapat hadir ke mahkamah pada waktu pagi.
“Pegawai JPJ itu bertanyakan jika saya boleh datang ke mahkamah pada sebelah petang, Saya beritahu saya tidak boleh janji kerana ketika itu saya dalam perjalanan ke Padang Jawa untuk urusan kerja.
“Saya terkejut apabila mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap saya sedangkan saya bukan sengaja tidak hadir ke mahkamah,” katanya.
Dia kesal kerana salah faham itu menyebabkan mahkamah mengeluarkan waran tangkapnya.
“Apabila waran tangkap dikeluarkan, seperti saya tidak menghormati mahkamah kerana tidak hadir prosiding kes semalam sedangkan keadaan sebenar tidak begitu,” katanya.
Kelmarin, Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki itu berikutan lori miliknya terlibat nahas meragut nyawa sembilan anggota FRU di Jalan Sungai Manik di sini pada 13 Mei lalu.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Naidatul Athirah Azman selepas Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan memohon waran tangkap ke atas individu terbabit kerana gagal hadir pada prosiding kelmarin. – UTUSAN











