KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 22 Ogos ini untuk mendengar permohonan pihak pembelaan untuk mencelah dalam prosiding larangan menguruskan aset bernilai kira-kira RM1.25 bilion di Jersey yang dikatakan milik isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Perintah larangan terhadap aset tersebut dimohon oleh pihak pendakwaan secara sebelah pihak (ex-parte) mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide memaklumkan kepada Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa aset berkenaan dipercayai diperoleh Na’imah atau wakilnya di Malaysia tetapi tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Katanya, aset tersebut bernilai sekitar AS$157.5 juta (RM741 juta) dan £85 juta (RM509 juta) yang dipercayai disimpan di Jersey, sebuah wilayah taklukan British.
Menurutnya, permohonan itu dikemukakan susulan siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak memperincikan butiran aset yang terbabit.
Peguam, Syed Afiq Syed Albakri yang mewakili Na’imah memohon untuk menjadi pencelah dalam prosiding tersebut dan meminta semua dokumen berkaitan diserahkan kepada pihaknya.
Menurutnya, memandangkan permohonan itu menyentuh secara langsung hak anak guamnya, ia sewajarnya dikemukakan secara inter-parte (melibatkan semua pihak) dan bukannya ex-parte.
“Pendakwaan seharusnya menunjukkan alasan munasabah untuk menyokong permohonan mereka. Tambahan pula, terdapat pindaan terkini terhadap Seksyen 53 AMLATFPUAA yang belum diwartakan tetapi memerlukan kehadiran kedua-dua pihak.
“Demi keadilan asasi, kami wajar diberi ruang menjadi pencelah dan diberikan dokumen berkaitan. Kami juga memohon agar pendakwaan memaklumkan lebih awal sekiranya ada cubaan memfailkan permohonan seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.
Susulan itu, Hakim, Muhammad Jamil mengarahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan rasmi sebelum mahkamah mendengarnya pada 22 Ogos depan.-UTUSAN.










