TERKENANG lagu Tanah Pusaka yang iramanya cukup indah dan mendamaikan. Ditambah lagi dengan liriknya yang penuh makna dan menusuk kalbu.
Sudah berpuluh dekad lagu ini berkumandang di udara, khususnya di stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), bersama lagu-lagu patriotik lain yang turut mewarnai jiwa rakyat. Justeru, wajar jika RTM terus menggiatkan penyiaran lagu-lagu seumpama ini demi menyemarakkan semangat cinta akan tanah air.
Namun, lebih utama untuk diketengahkan dalam ruang yang terbatas ini ialah kandungan senikata lagu Tanah Pusaka. Lagu ini membawa gambaran tentang tanah air yang gemilang, indah lagi permai.
Maksud yang ingin disampaikan bukanlah sukar untuk difahami atau dihayati yang tanah air ini dianugerahkan alam semula jadi memukau, kaya dengan hasil bumi serta dihuni rakyat berbilang kaum. Mereka hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.
Lirik asal lagu ini menyebut tentang Tanah Melayu, tetapi sudah ditukar kepada Tanah Malaysia. Tak mengapalah! Mungkin untuk disesuaikan dengan kenyataan semasa.
Cuma, bimbang jika kalimat ‘Melayu’ semakin lenyap atau menghilang dari normalisasi kehidupan harian rakyat Malaysia. Syukurlah, masih ada nama-nama yang mengekalkan jati diri nasional, seperti Keretapi Tanah Melayu (KTMB), yang menjadi lambang warisan dan sejarah negara.
Apa yang boleh dibanggakan ialah hakikat Malaysia merupakan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Rakyatnya pula begitu cintakan tanah air, sanggup berjuang demi negara hingga ke titisan darah terakhir — seperti yang diungkapkan dalam lirik lagu ini: biar putih tulang, jangan berputih mata.
Ungkapan ini memberi gambaran jelas tentang kesediaan seluruh rakyat untuk memikul tanggungjawab mempertahankan keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.
Secara tidak langsung, ia membawa pengertian bahawa seluruh rakyat negara ini tanpa mengira agama, bangsa, latar belakang budaya, daerah mahupun wilayah bersedia dan rela menerima serta menghormati segala struktur kenegaraan yang terbina, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malaysia sering digambarkan sebagai sebuah negara yang unik dan istimewa. Di mata dunia, Malaysia dikagumi sebagai negara majmuk yang hidup dalam perpaduan dan keharmonian. Maka amatlah malang andai imej positif serta kebanggaan yang selama ini tersemat di hati masyarakat antarabangsa berubah wajah. Barangkali, mereka juga akan turut kecewa dan bersimpati sekiranya keindahan ‘kegemilangan Malaysia’ yang mereka sanjungi tidak lagi selari dengan realiti.
Tidak pasti sejauh mana lagi makna ‘gemilang’ masih berakar di bumi Malaysia dan di sanubari rakyatnya. Pernyataan yang diketengahkan ini bukanlah bertujuan mencetus provokasi, jauh sekali untuk mengugut mana-mana pihak yang boleh menggugat keharmonian sedia ada. Sebaliknya, ia merupakan ajakan tulus kepada pembaca untuk menilai secara jujur — sejauh manakah makna ‘kegemilangan’ itu masih menyinari kehidupan rakyat Malaysia pada hakikatnya.
Masihkah layak Malaysia digelar gemilang andai saban hari dihidangkan kisah kecelaruan politik dan provokasi yang menyentuh isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama — yang berulang tanpa noktah, seolah-olah menjadi kelaziman, ‘hari ini menjentik, esok memohon maaf’?
Sepatutnya, perkara seperti kontrak sosial serta keistimewaan orang Melayu dan bumiputera tidak lagi dijadikan bahan pertikaian, apatah lagi dipersoalkan, kerana ia telah lama menjadi asas kepada pembentukan negara ini.
Titah seorang raja Melayu, “Malaysia tidak mungkin menemui damai harmoni selagi perasaan orang Melayu diganggu, diusik…”
BANYAK ISU NEGATIF
Kegemilangan Malaysia turut tercalar dengan isu berpanjangan berkaitan ‘ancaman’ pendatang tanpa izin (PATI), seolah-olah tiada penghujungnya.
Ramai dalam kalangan mereka masuk tanpa jejak yang jelas, hingga menimbulkan persoalan, bilakah agaknya mereka akan kembali ke tanah asal?
Kehadiran PATI kini bukan lagi tertumpu di kawasan terpencil, malah membanjiri pekan dan bandar. Ada yang dilaporkan menguasai pasar serta premis-premis perniagaan di pinggir kota dan sepanjang jalan. Lebih membimbangkan, mereka juga dikatakan menikmati pelbagai kemudahan dan barangan bersubsidi negara — yang seharusnya hanya diperuntukkan kepada rakyat tempatan.
Dalam pada itu, pencerobohan tanah bukit dan kawasan hutan terus berlaku, melibatkan ratusan ribu hektar yang didakwa diusahakan secara haram sebagai ladang durian ‘Musang King’. Situasi ini menimbulkan persoalan besar: di manakah keberkesanan sistem penguatkuasaan kita? Pelbagai bisik-bisik dan desas-desus turut kedengaran, mengaitkan isu ini dengan persoalan pengiktirafan serta pendaftaran kewarganegaraan — menjadikan keadaan semakin rumit dan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Gejala penyalahgunaan dadah terus membelenggu negara tanpa henti. Sesekali kita dikejutkan dengan tangkapan besar melibatkan nilai puluhan juta ringgit, itu pun hanya yang berjaya dikesan. Bayangkan pula jumlah yang terlepas. Pengedarnya mampu membawa kerosakan besar kepada ratusan ribu warganegara, khususnya dalam kalangan belia dan remaja. Lebih membimbangkan, ada ketikanya mangsa yang terjebak datang daripada kelompok yang tidak disangka termasuk murid-murid sekolah rendah.
Dalam pada itu, timbul pula kebimbangan terhadap perkembangan generasi muda yang semakin ramai dilihat kurang berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Sebaliknya, segelintir mereka lebih cenderung memilih jalan singkat untuk mencari rezeki yang tidak seberapa, dengan mengutamakan hiburan berbanding usaha membina kehidupan yang benar-benar maju dan berjaya. Keresahan ini sering diluahkan golongan dewasa, yang tertanya-tanya ke mana hilangnya nilai-nilai luhur, ketinggian budi dan peradaban dalam masyarakat kita? Lalu, timbul juga persoalan, apakah jaminan terhadap kelangsungan seni budaya Melayu yang menjadi teras jati diri bangsa?”
“Musuh melandaku gempur…” Ini sepotong lagi bait-bait lagu Tanah Pusaka. Pokoknya, sanggup atau bersediakah rakyat Malaysia menggempur ‘musuh-musuh berkaitan isu-isu sosial’ yang berlegar dalam kehidupan harian?
Mampukah pemimpin dan ahli politik bangkit menggempur sikap suka berpecah-belah sesama sendiri, lalu mengubahnya kepada semangat perpaduan yang tulen, demi kepentingan bangsa, agama dan tanah air tercinta?
Jadi, tidak salah kita menghayati semula lagu Tanah Pusaka ciptaan Tan Sri Ahmad Marican dan Wan Ahmad Kamal yang memiliki nilai keistimewaan tersendiri. Lagunya gemersik irama, seindah liriknya.-UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










