Undang-undang lapuk, impian digital terkubur?

Undang-undang lapuk, impian digital terkubur?

ASEAN harus memperkenalkan standard kelestarian tersendiri untuk pusat data yang selaras dengan prinsip Alam Sekitar Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Rangka Hak Alam Sekitar ASEAN. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASIA Tenggara sedang menyaksikan revolusi digital yang berkembang pesat. Gabungan lonjakan teknologi kecerdasan buatan (AI), e-dagang dan pengkomputeran awan menjadikan rantau ini antara destinasi pelaburan pusat data paling dinamik di dunia.

Malaysia, sebagai salah satu negara termaju dalam ASEAN, berada di barisan hadapan dalam perlumbaan ini. Namun, persoalan utama muncul, apakah kerangka undang-undang kita cukup moden dan responsif untuk menyokong gelombang transformasi digital ini?

Pembangunan pusat data bukan sekadar projek teknologi. Ia merupakan pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi digital megara. Ia membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan keupayaan Teknologi Maklumat (ICT) negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau teknologi maklumat.

Pusat data juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan data, pemulihan bencana digital serta pematuhan terhadap dasar pemegangan dan penyimpanan data nasional. Dengan penyertaan tenaga boleh diperbaharui, seperti solar (suria), biojisim dan biogas, sektor ini turut menyokong agenda kelestarian negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Namun, kemajuan fizikal tanpa pemodenan dasar seperti membina lebuh raya tanpa panduan lalu lintas. Realitinya, kerangka perundangan di Malaysia dan ASEAN secara umumnya masih belum berkembang seiring dengan kemajuan teknologi digital.

Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020) misalnya, masih belum mengambil kira keperluan spesifik pembangunan pusat data. Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) pula meletakkan kuasa kelulusan yang besar kepada pihak berkuasa perancang tempatan, sering mengatasi kepakaran agensi teknikal seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS). Ini sering mewujudkan konflik antara kelulusan pentadbiran dan kepentingan teknikal.

Johor, contohnya, menolak kira-kira 30 peratus permohonan pembangunan pusat data atas alasan menjaga kelestarian sumber air dan elektrik. Ini mencerminkan keperluan segera untuk mengemaskini dasar penggunaan tanah dan perancangan bandar agar lebih inklusif terhadap keperluan era digital.
Lebih membimbangkan, tiada obligasi undang-undang mewajibkan agensi-agensi teknikal dan perancang tempat untuk menyediakan data raya (big data) dan analitik data yang dikemas kini secara berkala.

Ketiadaan data ini menyukarkan proses membuat keputusan berasaskan bukti dan teknologi, termasuklah penggunaan AI dalam perancangan bandar serta kelulusan projek. Sedangkan di era digital ini, keputusan berasaskan data adalah tunjang kepada pembangunan mampan dan pengurusan risiko.

Malaysia melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Pusat Data (2024). Namun, tanpa sokongan kuasa undang-undang, panduan ini masih bersifat nasihat semata-mata. Tambahan pula, sistem tadbir urus dua lapisan antara Persekutuan dan negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, mencetuskan ketidaktentuan pelabur kerana kekaburan dalam tanggungjawab serta kuasa.

Isu ini bukan terhad kepada Malaysia sahaja. Negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina juga menghadapi masalah kerangka undang-undang perancangan usang, lemah pemantauan alam sekitar serta sistem pelesenan yang berpecah-belah.

ASEAN menggariskan hasratnya melalui Pelan Induk Digital ASEAN 2025 dan Rangka Kerja Komuniti Ekonomi ASEAN 2025, yang menyeru kepada harmonisasi perundangan dan kejelasan dasar. Tetapi setakat ini, pelaksanaan di peringkat negara masih perlahan dan tidak seragam.

JADIKAN TELADAN

Di United Kingdom (UK), pusat data tertakluk kepada pelaporan karbon di bawah Pelaporan Tenaga dan Karbon yang Dipermudah (SECR) dan Skim Kecekapan (ESOS).

SECR mewajibkan syarikat besar, termasuk pusat data melaporkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon setiap tahun. Ia meningkatkan ketelusan, mendorong kecekapan tenaga dan menyokong amalan lestari.

Pematuhan SECR menjadi penanda aras Alam Sekitar Sosial dan Tadbir Urus (ESG) penting dan contoh terbaik dasar hijau digital untuk ASEAN ikuti. ESOS mewajibkan syarikat besar, termasuk pusat data, menjalankan audit tenaga setiap empat tahun untuk mengenal pasti peluang penjimatan tenaga.

Ia melibatkan analisis penggunaan pelayan, penyejukan dan pencahayaan. ESOS menggalakkan kecekapan tenaga, sokong ESG dan menjadi model audit tenaga mampan untuk ASEAN.

Singapura pula, dalam pembangunan pusat data mewajibkan pematuhan terhadap piawaian kelestarian bangunan manakala Abu Dhabi melaksanakan sistem penarafan Estidama Pearl untuk pengurusan tenaga dan air.

Ini membuktikan pusat data boleh berkembang dengan mampan, asalkan disokong undang-undang yang jelas, penguatkuasaan konsisten serta koordinasi merentas agensi dan wilayah.

CADANGAN STRATEGIK UNTUK ASEAN:

– Harmonikan undang-undang rantau

ASEAN perlu menyelaras dasar dan undang-undang berkaitan perancangan, alam sekitar, penggunaan tanah dan pembinaan agar selari serta mesra pelabur serantau, menepati aspirasi mahupun sensitiviti rakyat selain mendukung kelestarian alam sekitar.

– Tingkatkan koordinasi dalam negara

Di negara seperti Malaysia serta Indonesia, sistem kelulusan perlu diperkemaskan antara kerajaan pusat, negeri dan tempatan bagi mengurangkan birokrasi sekali gus mempercepat pembangunan.

– Tetapkan piawaian kelestarian serantau

ASEAN harus memperkenalkan standard kelestarian tersendiri untuk pusat data yang selaras dengan prinsip ESG serta Rangka Hak Alam Sekitar ASEAN.

Pusat data bukan lagi kemudahan sokongan. Ia kini merupakan nadi ekonomi digital ASEAN. Namun, nadi ini tidak akan berfungsi sekiranya sistem perundangannya kekal terperangkap dalam era lama. Undang-undang yang lapuk akan melambatkan inovasi, menakutkan pelabur dan menjejaskan kelestarian alam sekitar.

Pengalaman Malaysia wajar dijadikan cermin kepada ASEAN – sebagai peringatan dan peluang.

Tanpa reformasi undang-undang yang menyeluruh dan progresif, cita-cita untuk menjadi hab digital global hanya tinggal impian.

Namun, dengan iltizam politik, koordinasi rentas agensi dan kejelasan perundangan, ASEAN mampu memimpin dunia dalam membangunkan ekosistem pusat data yang bukan sahaja maju, malah bertanggungjawab, lestari serta tahan lasak untuk generasi masa hadapan.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×