UiTM gerakkan kesedaran melalui derma darah

UiTM gerakkan kesedaran melalui derma darah

PROGRAM derma darah anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) dapat membantu negara yang memerlukan purata 2,000 hingga 2,500 beg darah setiap hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI balik hiruk-pikuk kehidupan harian, ada nyawa yang sedang bertarung, menanti harapan. Harapan itu bukan besar jumlahnya cuma setitis darah.

Kempen Derma Darah Perdana anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berlangsung secara serentak di 22 kampus seluruh negara pada 16 Jun lalu merupakan usaha menyeluruh dan besar-besaran yang berakar pada nilai kemanusiaan, tanggungjawab sosial serta komitmen terhadap kelestarian kesihatan masyarakat.

Sebagai institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) terbesar di Malaysia, UiTM percaya tanggungjawab institusi melangkaui dinding kuliah. UiTM bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi juga berperanan mendidik hati dan memupuk nilai keprihatinan dalam diri mahasiswa.

Lebih membanggakan, majoriti penderma dalam kempen ini datang daripada golongan muda, khususnya pelajar. Ini memberi petanda semangat sukarela dan empati sedang subur dalam kalangan generasi baharu. Peluang menderma darah menjadi medan pendidikan bukan formal yang memupuk keberanian, empati dan kesedaran sivik. Nilai ini yang menjadi asas sebuah masyarakat penyayang dan progresif.

UiTM juga menyahut hasrat Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam memperkukuhkan keterlibatan IPT bersama komuniti, di samping merancakkan kolaborasi strategik antara akademia, kerajaan dan sektor swasta. Kempen ini, dengan kerjasama Pusat Darah Negara dan hospital-hospital kerajaan di seluruh negara, merupakan contoh nyata bagaimana nilai kolaborasi ini dapat diterjemahkan kepada impak sebenar kepada rakyat.

Dalam konteks global, inisiatif ini turut menyokong matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG 3: Kesihatan dan kesejahteraan yang baik. Darah yang mencukupi dalam sistem kesihatan negara adalah faktor kritikal, terutamanya ketika berlaku bencana, musim perayaan atau peningkatan kes kecemasan.

Menurut data Kementerian Kesihatan, negara memerlukan purata 2,000 hingga 2,500 beg darah setiap hari. Dalam masa sama, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan purata 15 hingga 18 kematian berlaku setiap hari akibat kemalangan jalan raya. Bayangkan, tiga daripada nyawa itu boleh diselamatkan dengan satu beg darah.

Maka, kempen ini bukan sekadar program. Ia adalah harapan. Ia adalah sinar buat yang terlantar. Ia adalah nadi kepada sistem kesihatan awam kita.

Saya ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk memupuk semangat derma darah sebagai satu amalan kehidupan. Kita bukan hanya menderma darah, kita menyumbang kepada kehidupan.

Semoga setitis darah menjadi penyambung nyawa. Semoga langkah kecil ini menjadi cahaya buat mereka yang sedang bertarung nyawa. Dan semoga juga, usaha ini menjadi asbab yang mengiringi kita ke syurga.

Saya ingin melihat masyarakat Malaysia bersatu hati menyumbang bukan kerana dipaksa, tetapi kerana memahami bahawa dalam setiap titisan darah, ada nilai kemanusiaan yang tidak terbanding.-UTUSAN

ANNA KARTINI AHMAD LOTFI
Timbalan Pendaftar, Pejabat Komunikasi Strategik & Pengarah Program Kempen Derma Darah Perdana
Universiti Teknologi Mara ( UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×