PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini menangguhkan keputusan rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung permohonannya agar Hakim Mahkamah Tinggi mendengar kes rasuah berkaitan projek solar yang dihadapinya menarik diri ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin menetapkan 4 Julai ini untuk pengurusan kes bagi tujuan penetapan tarikh tersebut.
Pendengaran rayuan hari ini juga tidak membabitkan rayuan Rosmah terhadap hukuman penjara hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah, sembilan tahun lalu yang dibuat oleh hakim yang sama, Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai dalam hujahan balasnya menyatakan, Hakim Mohamed Zaini (kini Hakim Mahkamah Rayuan) tidak pernah memberi arahan kepada Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyediakan sebarang pendapat bagi beliau dalam kes rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.
Ini dapat dilihat apabila hakim bicara itu sendiri tidak mengetahui isi kandungan dokumen yang dikatakan penghakiman bocor beliau.
“Itu sudah memadai, Yang Arif Hakim Datuk Mohamed Zaini (dengan) jelas menyatakan bahawa beliau tidak pernah memberikan arahan kepada mana-mana unit penyelidikan untuk menyediakan sebarang pendapat untuknya.
“Hakim perbicaraan menegaskan bahawa beliau sentiasa menyediakan dan menulis alasan penghakimannya sendiri,” katanya semasa pendengaran rayuan Rosmah untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar kes solar tersebut.
Selain itu, ujar Mangai, selepas dibaca dan dibuat perbandingan teliti, adalah amat jelas bahawa tiada persamaan antara penghakiman tersebut dan dua pendapat berkenaan.
“Rayuan ini tidak mempunyai merit. Kami mohon agar mahkamah ini menolak rayuan pihak perayu,” katanya.
Rosmah memfailkan permohonan itu pada 1 September 2022 atas alasan beliau meragui integriti Hakim Mohamed Zaini ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.
Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu, kemudian tular di media sosial.
Dalam afidavit sokongannya, Rosmah terkejut kerana alasan penghakiman kes projek solar itu telah siap dan disediakan oleh pihak ketiga, bukannya hakim berkenaan.
Hakim Mohamed Zaini sebelum menolak permohonan tersebut menyatakan, segala penghakiman dibuat sendiri olehnya selepas membuat kajian sendiri.-UTUSAN










