Kastam Perlis rampas bunga ganja bernilai RM2.2 juta

Kastam Perlis rampas bunga ganja bernilai RM2.2 juta

ISMAIL Hashim (kiri) menunjukkan ketulan ganja yang dirampas menerusi serbuan ke atas sebuah kenderaan yang diparkir tanpa pemandu di kawasan berhampiran pintu sempadan Malaysia-Thailand, Jalan Sadao, Padang Besar dalam sidang akhbar di Padang Besar hari ini-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas 40 bungkusan plastik lutsinar kedap udara dipercayai mengandungi bunga ganja bernilai kira-kira RM2.285 juta di berhampiran pintu sempadan Malaysia-Thailand, Jalan Sadao, Khamis lalu.

Dalam operasi itu, sepasukan anggota kastam cawangan penguatkuasaan Padang Besar telah melakukan serbuan ke atas sebuah kenderaan yang diletakkan tanpa pemandu di kawasan berkenaan kira-kira pukul 11.30 tengah hari.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, hasil pemeriksaan menemukan beberapa bungkusan plastik hitam di bawah dan dalam kereta jenis Proton Saga itu bersama dua beg galas di tempat duduk penumpang bahagian belakang.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan plastik hitam itu dan beg tersebut mendapati terdapat 40 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis bunga ganja. Berat keseluruhan bunga ganja dirampas itu adalah 22.855 kilogram dan dianggarkan bernilai RM2.285 juta,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kastam Padang Besar, di sini, hari ini.

Ismail berkata, menerusi serbuan itu, pihaknya turut merampas kereta berkenaan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM15,000.

Beliau berkata, modus operandi digunakan suspek adalah dengan meninggalkan kenderaan berhampiran pintu sempadan sebelum diambil oleh individu lain.

“Siasatan juga mendapati ganja tersebut ditinggalkan dalam lingkungan masa kira-kira satu jam sebelum diserbu oleh pihak kastam,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, semakan juga mendapati bunga ganja yang cuba diedarkan itu juga adalah lebih mahal berbanding kebiasaan dengan harga mencecah sehingga RM100,000 untuk sekilogram.

Katanya, semua rampasan itu dipercayai cuba diedarkan ke kawasan Semenanjung Malaysia dan dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 114,000 orang penagih.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×