KUALA NERUS: Pesanan arwah bapa supaya belajar bersungguh-sungguh menjadi pegangan buat pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, di sini, Nuraisha Munira Muda, 20, yang memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
Anak bongsu daripada empat adik beradik itu kehilangan ibunya, Khairiah Embong pada 2021 manakala bapanya, Muda Mat Ali dua tahun kemudian akibat kanser paru-paru.
“Pemergian arwah ibu secara mengejut dan ayah sebab sakit membuatkan saya hampir hilang semangat.
“Namun pesanan ayah sebelum meninggal dunia supaya saya belajar bersungguh-sungguh sentiasa terpahat dalam diri,” katanya ketika ditemui di sekolah itu semalam.
Nuraisha Munira mengambil empat subjek iaitu Bahasa Melayu, Pengajian Perniagaan, Seni dan Pengajian Am.
Katanya, dia tinggal bersama kakak sulungnya, Nur Fathihah, 27, dan abangnya, Aliff Hakimi,24, di Kampung Bukit Kandis manakala abang kedua, Amirul Naim, 26 , sudah berkahwin.
“Saya mahu belajar dalam bidang rekabentuk dalaman dan bercita-cita menjadi pereka hiasan dalaman.
“Saya mahu ubah nasib keluarga kerana kakak dan abang meletakkan harapan yang tinggi kepada saya,” katanya.
Nuraisha Munira antara empat pelajar SMK Bukit Tunggal yang memperoleh keputusan cemerlang 4.0 yang diumumkan semalam. – UTUSAN










