PETALING JAYA: Beberapa penerbangan balik jemaah haji Malaysia akan dijadualkan semula.
Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan memberitahu, penjadualan semula itu atas nasihat keselamatan syarikat penerbangan dan bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa operasi penerbangan di Asia Barat.
Menurut TH, penerbangan yang akan mengalami penjadualan semula melibatkan pesawat KT043 (MH8301) yang dijadualkan berlepas dari Madinah pada pukul 5.10 pagi (waktu Arab Saudi), hari ini.
Jelasnya, penerbangan kedua pula melibatkan pesawat KT034 (MH8291) yang dijadualkan berlepas dari Jeddah, pada pukul 6.40 pagi, hari ini.

“Kedua-dua penerbangan carter haji itu telah ditunda selama 24 jam daripada jadual asal.
“Penjadualan baharu sedang disusun dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa, termasuk penyelarasan trafik udara dan keperluan logistik.
“Kesemua jemaah yang terlibat telah ditempatkan sementara di hotel sekitar Jeddah dan Madinah bagi memastikan kebajikan dan keselesaan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
TH memaklumkan koordinasi di lapangan terbang sedang giat dijalankan antara pihak syarikat penerbangan bagi memastikan kelancaran urusan logistik jemaah.
Setakat ini, katanya, sebanyak 39 penerbangan telah tiba di tanah air dengan baki 61 penerbangan lagi.
Sebarang perkembangan lanjut, termasuk perubahan jadual oleh syarikat penerbangan, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – UTUSAN











