PETALING JAYA: Kerajaan perlu melihat kembali beberapa isu yang berkaitan dengan nahas kemalangan jalan raya dengan lebih menyeluruh bagi mengelakkan insiden yang sama berlaku.
Menjelaskan perkara tersebut, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Datuk Abu Hasan Awang berkata, setiap kemalangan yang berlaku tidak boleh diletakkan salah kepada pengusaha industri bas semata-mata.
Katanya, penguatkuasaan yang longgar juga turut menjadi faktor kemalangan di jalan raya semakin meningkat di samping keadaan jalan raya yang turut menyumbang kepada kejadian itu.
“Jika dari peringkat awal Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) dilaksanakan, tidak akan berlaku kemalangan yang teruk seperti hari ini. Kejara sudah ada lama tetapi kerajaan yang tidak melaksanakannya. Puspakom pun sudah mengeluarkan kenyataan yang tiada masalah mekanikal. Sekarang hendak salahkan siapa?
“Dalam hal ini, tiada mana-mana pihak yang boleh lepas tangan dan menyalahkan pihak lain termasuk kerajaan sendiri. Pertimbangan perlu dibuat secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sistem Kejara diperkenalkan pada 2017 sebagai sebahagian daripada Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya melalui pengesanan penalti terhadap pesalah trafik berulang.
Menerusi sistem ini, pemandu yang mengumpul terlalu banyak mata demerit berisiko digantung atau dibatalkan lesen memandu mereka.
Namun baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kejara tidak efektif kerana mata demerit hanya akan dipotong ke atas pemegang lesen memandu selepas bayaran kompaun dibuat dan tiada perubahan selagi ia belum dibayar, sekali gus rombakan besar-besaran akan dibuat.
Selain itu, Abu Hasan turut berkata, sistem Kejara itu saling bergantung dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), maka mana-mana individu yang membuat kesalahan sudah tentu tidak boleh memperbaharui lesen mereka.
“Apa yang berlaku sekarang, pemandu boleh memperbaharui lesen mereka seperti biasa. Jadi, dalam nahas melibatkan 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban, bagaimana pemandu tersebut boleh perbaharui lesen jika banyak saman yang telah dikeluarkan terhadapnya? “Ini salah siapa pula?” soalnya.
Mengulas lanjut mengenai bas persiaran yang membawa pelajar UPSI baru-baru ini, Abu Hasan berkata, bas tersebut adalah di bawah kendalian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sekali gus mendakwa yang bas tersebut tidak boleh digunakan untuk membawa pelajar berkenaan untuk pulang ke kampung baru-baru ini.
“Sepatutnya bas persiaran perlu memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) kerana ia di bawah kendalian MOTAC. Jika diikutkan, bas tersebut tidak boleh membawa pelajar-pelajar itu pulang ke kampung. Tetapi tetap membiarkan perkara itu berlaku. Mengapa?” soalnya lagi. – UTUSAN











