MARANG: Enam lelaki berusia sekitar 30-an dipercayai pengedar dadah dicekup polis dalam empat serbuan berasingan sejak minggu lalu di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd. Sofian Redzuan berkata, hasil tangkapan tersebut membawa rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM16,400 serta sitaan kenderaan berjumlah RM23,000.
Katanya, tangkapan pertama pada 16 Jun lalu di sebuah rumah kosong di Kampung Gong Kassim, Merchang melibatkan tiga lelaki berusia 30 tahun hingga 36 tahun.
“Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis methamphetamine. Dua daripada suspek juga punyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. Polis merampas 51.06 gram dipercayai pil kuda dan 1.08 gram syabu dengan nilai pasaran RM3,500 selain turut menyita sebuah motosikal Yamaha 125Z bernilai kira-kira RM10,000.
“Suspek telah direman tujuh hari sehingga 23 Jun ini. Serbuan kedua 17 Jun lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di ladang kelapa sawit di Kampung Alor Limbat, Bukit Payung. Suspek turut didapati positif methamphetamine.
“Sebanyak 57.1 gram dipercayai pil kuda turut dirampas bernilai RM3,500. Sebuah motosikal Honda Wave bernilai RM10,000 turut disita,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Marang, di sini hari ini.
Kata beliau, serbuan ketiga pada 21 Jun lalu di kawasan hutan di Kampung Batang menangkap seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas 219.36 gram disyaki dadah bernilai anggaran RM8,000 serta menyita sebuah motosikal Honda EX5 bernilai RM3,000.
Katanya, suspek yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah didapati positif methamphetamine dan dia direman sehingga 28 Jun ini.
“Tangkapan terbaharu pada 22 Jun lalu di tepi jalan di Kampung Wakaf Dua, Bukit Payung, membabitkan seorang lelaki berusia 36 tahun. Hasil ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif methamphetamine. Polis turut merampas 51.59 gram pil kuda dan 4.62 gram heroin dengan nilai keseluruhan RM1,400,” ujarnya. – UTUSAN









