KEPUTUSAN permohonan kemasukan ke politeknik dan kolej komuniti bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan selain SPM untuk kemasukan ke program diploma, sijil, asasi dan sijil khas boleh dibuat melalui pelbagai platform yang disediakan oleh pihak Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi.
Seramai 62,485 calon lepasan SPM yang memohon melalui sistem UPUOnline telah berjaya ditawarkan tempat ke Politeknik dan Kolej Komuniti bagi kemasukan ke program diploma, sijil dan asasi bagi Sesi I : 2025/2026.
Sesi I : 2025/2026 juga adalah merupakan pengambilan kumpulan pelajar ketiga program Asasi Teknologi Kejuruteraan di 10 buah politeknik dengan seramai 2,288 calon ditawarkan tempat.
Pada sesi sama, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) turut menawarkan kepada 360 orang pelajar program Sijil Kejuruteraan bagi keperluan khusus kepada warga Sarawak. Calon akan mengikuti tiga program Sijil Kejuruteraan di Politeknik Mukah, Sarawak.
Manakala 1,554 calon lepasan SPM bukan tahun semasa, lepasan Sijil Politeknik dan Sijil Kolej Komuniti, Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 3), lepasan Sijil Vokasional Malaysia (Kolej Vokasional), lulusan Sijil Institut Kemahiran MARA (IKM), lulusan Sijil Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda-Tech), lulusan Sijil Pertanian Malaysia (Institut Pertanian Malaysia), lepasan Sekolah Pendidikan Khas, dan pemilik pensijilan APEL yang memohon melalui eBorang MyPolyCC ditawarkan mengikuti program diploma dan sijil di politeknik dan kolej komuniti.
Dalam pada itu, seramai 43 calon ditawarkan mengikuti lima program sijil khas di politeknik yang direka khusus untuk kumpulan pelajar berkeperluan khas (OKU) masalah pendengaran dan masalah pembelajaran.
Disamping itu, 3,861 calon pula mendapat tawaran pengajian dengan tajaan Dermasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Dermasiswa My Brighter Future Yayasan Tenaga Nasional.
Calon perlu melaksanakan proses pengesahan setuju terima tawaran mulai 18 Jun 2025 jam 5.00 petang hingga 25 Jun 2025 jam 12.00 tengah malam di pautan https://ambilan.mypolycc.edu.my.
Surat tawaran pengajian hanya boleh dicetak setelah pengesahan setuju terima tawaran dilaksanakan.
Bagi calon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat permohonan melalui sistem UPUOnline, permohonan rayuan boleh dibuat melalui pautan https://upu.mohe.gov.my.
Manakala, permohonan rayuan bagi memohon melalui sistem eBorang MyPolycc boleh dibuat melalui https://ambilan.mypolycc.edu.my.
Tarikh pendaftaran pelajar baharu program asasi adalah pada 7 Julai 2025 pendaftaran pelajar baharu bagi program diploma dan sijil adalah pada 2025 di 36 buah Politeknik dan 103 buah Kolej Komuniti seluruh negara.
Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan, boleh hubungi Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi. – UTUSAN
JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI










