KOTA BHARU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di dalam sebuah kontena kosong berhampiran Terminal Bas Kota Bharu, Lembah Sireh di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Che Asmizan Che Jaafar, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kontena kosong berhampiran Terminal Bas Kota Bharu, Lembah Sireh, kira-kira pukul 8 malam pada 12 Jun lalu. Che Asmizan didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana pertuduhan yang dihadapi tertuduh merupakan kesalahan serius.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 21 Julai iniuntuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN










