Jangan hanyut dek puji – Naim Daniel - Utusan Malaysia

Jangan hanyut dek puji – Naim Daniel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYINGKAP kejayaan penyanyi ini dalam melakar perjalanan seninya yang semakin membanggakan, Naim Daniel barangkali sudah boleh tersenyum sombong.

Tetapi, bukan itu jalan pilihannya. Bagi perangkul Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) ini, tiada sekelumit rasa pun untuk dirinya mendabik dada dengan kesombongan, bahkan bertanya, untuk apa dia perlu bersikap begitu?

Meski sedar ramai menganggap dirinya popular dan berjaya, semua itu sebenarnya memberikan sebuah ketakutan buat dirinya sementelah ada harga yang harus dibayar.

“Banyak pujian datang melewati sehingga ada yang kata, saya ini kalau buat apa sahaja mesti menjadi. Padahal, semua itu adalah tanggungjawab.

“Kalau nak tahu, saya sekarang sudah tak lagi melihat diri sebagai artis atau penghibur, sebab apa yang saya lakukan ini sekarang sudah menjadi tanggungjawab besar,”katanya.

Menurut Naim, fikirannya mula berubah sejak dirinya semakin diangkat dalam industri selain melihat situasi semasa yang mematangkan diri.

“Menyanyi atau berlakon, semua itu adalah satu ruang untuk saya menyampaikan mesej dan tanggungawab pada masyarakat sebenarnya. Jujurnya, saya sudah tidak mampu untuk melihat lebih banyak pandangan negatif terhadap anak-anak seni.

“Malah, nak sebut perkataan anak seni ini pun, bagi saya adalah satu perkara besar. Saya lebih selesa menggunakan kata pekerja seni sebab kita juga bekerja. Dalam masa sama, di platform ini jugalah saya dapat menyuarakan suara orang di luar sana,”katanya.

Jelas Naim, selama 15 tahun berkecimpung dalam industri, tanggungjawab yang dilaksanakan sebagai seorang pekerja seni, keuntungannya bukan semata-mata untuk diri sendiri.

“Golongan artis ini juga sudah macam anggota barisan hadapan kepada dunia seni hiburan. Kalau orang kutuk atau hentam pun, kita juga hadap, maklumlah bekerja dengan mulut orang.

“Saya kalau boleh nak buang stigma, artis kalau nak glamor kena buat benda bodoh. Eh, saya tak nak! Sebab itulah kalau kita nak orang pandang tinggi, kita kena jadi artis yang bagus dan lebih baik daripada itu.

“Tapi, jangan pula hanyut dengan puji atau mati dek puji. Satu yang saya pegang, lagi tinggi kita dipuji, lagi sakit kalau kita jatuh,”katanya.

Tambah Naim, sebagai seorang pekerja seni, dia begitu menghargai setiap individu yang berada di sebalik kejayaan dan perjalanannya dalam bidang ini kerana baginya, tanpa mereka, Naim Daniel itu tidak akan mampu berada di tahap.

Bijak berkata-kata

Mengusik dirinya dengan gelaran ‘A man with Words’, Naim cuma tergelak. Sambungnya, jika benar dia pandai berkata-kata sekali pun, satu yang pasti, dia tidak pernah berkata sembarangan tanpa isi.

“Lebih banyak awak tahu, lebih banyak tak tahu sebenarnya. Kalau menulis atau bercakap, saya memang akan pastikan orang itu boleh rasa apa yang cuba disampaikan. Sebabnya, kata-kata ini sifatnya tajam, orang akan ingat.

“Bayangkan kalau kita tak kenal orang itu dan kita bercakap buruk mengenainya, ditakdirkan bertemu mata, awak rasa apa yang dia akan ingat? Tentulah kata-kata tak baik tadi tu.
“Jadi, katakanlah yang baik-baik sebab tak rugi seringgit pun duit kita kalau kita lakukan itu,”katanya.

Dalam pada itu, kongsi Naim yang bakal menemui peminat menerusi pembabitannya dalam filem Siapa Tutup Lampu, dia adakalanya hairan apabila ada yang bertanya mengapa dia tidak mahu berlakon.
“Hairan, sebab memang saya ini bermula dengan berlakon, kemudian baru menyanyi. Kadangkala kecil hati dan sedih juga bila ditanya begitu.

“Tapi tak apalah, mungkin sudah tiba masanya untuk saya kembali aktif berlakon macam dulu. Filem Siapa Tutup Lampu ini juga adalah satu daripada usaha untuk memastikan orang tak lupa saya juga adalah seorang pelakon,”katanya.

Pun begitu, kata Naim, tidak juga sembarangan naskah akan diambil secara semberono kerana baginya penting untuk meneliti nilai kualiti pada sesebuah tawaran lakonan yang datang padanya agar tidak tersalah langkah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×