Air tangan pengikat kasih

Air tangan pengikat kasih

PUTRAJAYA, 16 JUN 2025 - Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman bergambar selepas wawancara bersama Utusan Malaysia di kediamannya baru-baru ini. FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR/PEMBERITA - SUHANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Awalnya, saya agak gugup apabila permintaan untuk menemubual isteri kepada Ketua Polis Negara iaitu Puan Sri Zainah Othman diluluskan.

Pada hari yang dijanjikan saya menyiapkan diri seawal pagi memakai pakaian yang agak formal dan tiba di lokasi tepat pada masanya.

Dalam fikiran saya, sudah pasti sesi temu bual ini akan penuh dengan protokol. Manakan tidak, saya akan bertemu dengan suri hati pemimpin tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, sangkaan saya meleset sama sekali. Setibanya di kediaman beliau, saya dan rakan setugas lain disambut dengan mesra.

Lebih mengejutkan, lauk-pauk makan tengah hari sudah sedia terhidang di atas meja.

Ada tomyam poktek, daging merah Thailand, kerabu mangga, ulam-ulaman dan juga sambal belacan.

Beliau menyediakan masakan itu khas untuk kami yang datang bertamu ke kediamannya hari itu.

Kami semua dijemput makan terlebih dahulu sebelum melanjutkan sesi temu bual pada hari itu. Sejujurnya, air tangan beliau sangat menyelerakan.

Dapatlah kami bekerja dengan perut yang kenyang pada hari itu.

Air tangan itu jugalah yang menjadi pengikat kasih Zainah dan suami, Tan Sri Razarudin Husain selama 40 tahun.

Sejak mendirikan rumah tangga pada 21 November 1985, anak kelahiran Kampung Wat Siam, Baling, Kedah ini tidak pernah gagal menyediakan juadah buat suami tercinta.

Malah, sepanjang kerjaya suaminya yang berpindah ke serata negeri demi melaksanakan tugas, beliau sedia mengikuti demi mencurah bakti sebagai isteri.

Apatah lagi, suami hanya menggemari masakan isteri.

“Sepanjang kerjaya suami saya, sebanyak 23 kali kami berpindah ke sana-sini. Ke mana pun saya ikut dan bawa sekali anak-anak yang masih kecil kerana suami hanya makan masakan saya sahaja.

“Saya juga mengambil alih tanggungjawab terhadap keluarga sepenuhnya kerana ingin memberi laluan kepada suami untuk fokus dalam kerjaya.

“Sebagai isteri, saya menyokong suami semampunya kerana saya faham tanggungjawabnya besar terhadap keselamatan awam. Saya percaya sikap tolong-menolong sangat penting dalam rumah tangga,” katanya kepada Seri.

Baginya, tolong menolong, saling percaya, hormat-menghormati dan saling menyayangi menjadi tunjang utama dalam membina rumah tangga harmoni.

Di sebalik seragam dan gelaran si suami, wanita ini tabah menguruskan rumah tangga walaupun diuji dengan tuntutan masa.

Dalam diam, beliau menjadi tulang belakang dan sumber kekuatan untuk suami mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.

“Kena ada toleransi dalam keluarga. Saya faham setiap kali suami keluar rumah dia bukan lagi milik saya seorang tetapi juga milik awam.

“Namun, apabila suami pulang dan melangkah masuk ke dalam pagar rumah, beliau tinggalkan hal kerja di pejabat dan jadi ketua keluarga yang baik untuk kami sekeluarga. Itu cara kami kekalkan keharmonian,” kongsinya.

 

 

MEMASAK TERAPI MINDA
Ibu kepada lima anak ini memang terkenal dengan kehandalan memasaknya.

Beliau gemar menjamu rakan-rakan media dan teman-teman dengan air tangannya.

Katanya, memasak adalah terapi minda dan melihat orang lain menikmati masakannya menjadi satu kepuasan.

Apatah lagi, suaminya juga berkongsi minat yang sama.

“Suami saya pandai memasak. Sebab itu saya pun suka memasak dan kami bersama-sama siapkan juadah di dapur.

“Kami suka bercuti di Thailand dan apabila mencuba satu-satu juadah di sana, kami akan cuba memasaknya pula di rumah selepas itu,” katanya yang gemar mencuba resipi baharu untuk santapan keluarga.

Baginya, memasak perlu lahir dari hati yang ikhlas untuk menyedapkan rasa masakan itu.

AWET MUDA, BERTENAGA
Melihatkan kepada wajahnya yang putih mulus dan tutur bicaranya yang sangat bertenaga, saya tidak menyangka beliau sudah mencecah usia 60 tahun.

Wanita kacukan Siam-Indonesia ini benar-benar tidak dimamah usia apatah lagi kecantikannya terserlah dengan barisan gigi yang tersusun rapi setiap kali tersenyum.

Ditanya rahsia awet muda dan kekal cergas di usia senja, wanita ini tertawa.

Katanya, itu rezeki yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya.

Selain itu, beliau juga mengamalkan pemakanan yang sihat selain kekal aktif setiap hari.

“Saya suka berjalan dan buat kerja dengan cepat. Ia buat saya rasa sihat.

“Selain itu, saya juga gemar bermain golf, mendaki, briskwalk dan senaman ringan. Kunci utamanya adalah bersyukur, sentiasa positif dan aktif,” ujarnya.

PERKASA WANITA
Zainah bukan hanya berdiri di sisi suami dalam senyap, tetapi turut aktif dalam pelbagai inisiatif kebajikan dan komuniti, khususnya dalam memperkasakan peranan wanita melalui Persatuan Keluarga Polis (Perkep).

Selama dua tahun bergelar Pengerusi Perkep Malaysia, pelbagai kejayaan membanggakan dicapai.

Antaranya, penganjuran pelbagai program kebajikan dan latihan kemahiran untuk ahli-ahli.

Di bawah kepemimpinannya, persatuan itu berjaya memperluas kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan lain untuk memperkukuh peranan wanita dalam keluarga dan masyrakat.

“Perkep memainkan peranan penting sebagai penyokong moral dan emosi keluarga anggota polis selain menjadi jambatan menyampaikan kebajikan dan sokongan berterusan terutama ketika anggota bertugas jauh atau dalam situasi mencabar.

“Saya sayang Perkep, banyak aktiviti merangkumi sosial dan agama yang kami lakukan bersama-sama untuk memperkasa kaum ibu dan isteri,” katanya yang akan bersara esok.

Tanggal 22 Jun 2025 bakal menjadi detik penuh makna buat Zainah.

Tarikh keramat yang menandakan penutup tirai kepada perjalanan bakti selama 38 tahun bersama Perkep.

Pengakhiran ini bukan hanya menandakan tamatnya peranan beliau dalam pertubuhan wanita PDRM, tetapi seiring dengan berakhirnya kontrak suaminya sebagai Ketua Polis Negara, selepas dua tahun memegang tampuk kepemimpinan PDRM.

Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan, usia pencen akan dinikmati sepenuhnya bersama anak-anak dan empat cucu.

Beliau dan suami sememangnya gemar untuk meluangkan masa beriadah bersama-sama di waktu pagi dan selepas ini mereka akan lebih kerap melakukan aktiviti itu bersama-sama.

Impiannya beliau agar mereka sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan hidup bahagia di samping anak-anak serta cucu-cucu tersayang.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×