Ikan emas pengubat jiwa bosan

Ikan emas pengubat jiwa bosan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN hanya memandang ikan emas yang kecil dan senyap mampu memberi ketenangan jiwa kepada seorang wanita.

Liza Barnabas, 38, menemui kebahagiaan itu selepas memelihara ikan emas yang dinamakan Gum Gum.

Baginya, ikan itu bukan sekadar haiwan peliharan tetapi teman setia ketika di rumah.

Walaupun hanya berinteraksi secara senyap tetapi sudah cukup menceriakan harinya.

“Setiap kali pulang dari kerja, biasanya saya terus duduk di hadapan akuarium dan memerhatikan Gum Gum berenang perlahan.

“Bila saya mula bercakap, ia pun menggerakkan badan seolah-olah memahami apa yang saya katakan.

“Tetapi, bila orang lain termasuk abang saya berbuat demikian, Gum Gum hanya buat tidak tahu sahaja,” katanya.

Memerhatikan pergerakan Gum Gum boleh membuatkan fikirannya tenang sekali gus membantunya mengatasi tekanan harian.

Katanya, idea untuk menjaga ikan itu tercetus bagi menghilangkan kebosanan di rumah.

“Mulanya saya nak bela kucing tapi risau pula tiada sesiapa yang akan menjaganya kalau saya balik bercuti di Sarawak.

“Apabila ternampak ikan emas di sebuah kedai haiwan peliharaan, saya terus membelinya tanpa berfikir panjang,” katanya.

Kini, sudah tiga tahun haiwan itu menemaninya.

 

Kulit sensitif
Kulit dan insang ikan emas cepat mengesan perubahan suhu air.

Jika suhu naik atau turun secara mendadak, haiwan itu mudah jatuh sakit dan stres.

Justeru, Liza sentiasa memastikan akuarium dibersihkan selang minggu di samping suhu air dipantau setiap hari.

Selain itu, ada kalanya Gum Gum ditempatkan di akuarium abangnya bersama seekor lagi ikan spesis sama.

“Gum Gum seronok berada di dalam akuarium itu kerana ruangnya yang lebih luas dan dihiasi lampu hiasan,” katanya.

Dari segi pemakanan pula, Gum Gum diberikan pelet ikan berkualiti tinggi, bagi memastikan keperluan zat mencukupi.

Kos pelet itu dianggarkan sebanyak RM50.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×