SST beri kesan minimum kepada sektor automotif

SST beri kesan minimum kepada sektor automotif

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula 1 Julai ini dijangka akan memberi kesan langsung minimum kepada sektor automotif, kata CIMB Securities Sdn. Bhd. 

Firma penyelidikan berkata, ini berikutan jualan kenderaan sudah tertakluk kepada cukai jualan sebanyak 10 peratus, manakala perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus.

“Namun, mungkin terdapat sedikit peningkatan dalam kos pengedar dan penyewaan bilik pameran, walaupun kami percaya impaknya adalah minimum.

“Bagaimanapun, secara tidak langsung, sentimen pengguna yang lebih lemah boleh menjejaskan jualan kenderaan baharu pada separuh kedua 2025,” katanya dalam nota penyelidikan.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan penurunan 4.5 peratus tahun ke tahun dalam jumlah volum industri (TIV) kepada 780,000 unit pada 2025, didorong oleh permintaan yang semakin normal dan pengurangan pesanan industri yang tertunggak.

Sementara itu CIMB Securities menjangkakan penurunan mendadak 7.0 peratus TIV kepada 760,000 unit, berikutan potensi halangan daripada rancangan pemansuhan subsidi petrol RON95 pada separuh kedua tahun ini.

Namun begitu, firma penyelidikan menjangkakan permintaan dalam kenderaan segmen di bawah RM100,000 kekal berdaya tahan, disokong oleh jenama nasional dan model Jepun peringkat permulaan terpilih.

“Kami mengunjurkan jenama nasional untuk mengekalkan penguasaan pasaran 64.5 peratus yang dominan pada 2025, dengan jenama bukan nasional menyumbang baki 35.5 peratus,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya percaya penghapusan subsidi bahan api boleh mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV). 

Katanya, jualan BEV meningkat hampir dua kali ganda tahun ke tahun pada suku pertama kepada 5,394 unit daripada 2,703 unit setahun lalu, dengan gabungan BEV dan penembusan hibrid meningkat 1.9 mata peratusan kepada 7.3 peratus.

“Dengan pengecualian duti penuh untuk EV yang diimport akan tamat tempoh menjelang akhir 2025 dan kerajaan tidak mungkin melanjutkannya melebihi tarikh akhir, kami menjangkakan potensi lonjakan permintaan EV pada suku keempat 2025 apabila pembeli tergesa-gesa untuk mendapat manfaat daripada penjimatan cukai,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×