VILNIUS: Seekor beruang betina mencetuskan kekecohan di ibu negara Lithuania selepas haiwan liar itu keluar dari hutan dan merayau-rayau berhampiran kawasan kejiranan berhampiran bandar Vilnius selama dua hari.
Sepanjang tempoh itu, beruang coklat berusia kira-kira dua tahun tersebut berkeliaran di halaman rumah, melintasi lebuh raya dan menjadi tumpuan orang ramai yang mengejarnya sambil merakam menggunakan telefon pintar dan dron.
Sehubungan itu, pihak berkuasa mengeluarkan permit untuk menembak mati beruang berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga namun, keputusan itu menerima bantahan daripada komuniti pemburu tempatan yang enggan mematuhi arahan tersebut.
Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar kerana beruang merupakan spesies yang dilindungi dan sangat jarang ditemui di Lithuania.
Persatuan Pemburu dan Pemancing Lithuania dalam satu kenyataan menyatakan rasa terkejut dengan pendekatan kerajaan.
Pentadbir persatuan itu, Ramutė Juknytė berkata, beruang itu hanyalah haiwan liar yang ketakutan dan tidak menunjukkan sebarang tingkah laku agresif.
“Ia cuma takut dan tidak tahu jalan keluar dari bandar. Beruang itu langsung tidak mencederakan sesiapa. Ia hanya tersesat,” katanya sambil menambah jumlah beruang di Lithuania dianggarkan hanya antara lima hingga sepuluh ekor.
Insiden berkenaan bermula pada hari Sabtu apabila beruang tersebut memasuki kawasan bandar Vilnius, sekitar empat hingga lima kilometer dari pusat bandar dan kejadian itu menjadi tumpuan berita seluruh negara kerana ia merupakan kali pertama binatang terbabit dilaporkan memasuki bandar.
Kementerian Alam Sekitar Lithuania tampil memberi penjelasan selepas dikecam orang ramai dengan Timbalan Menterinya, Ramūnas Krugelis memaklumkan permit menembak itu dikeluarkan hanya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya beruang itu menjadi ancaman.










