KUALA LUMPUR: Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail hari ini sah dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-15, menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang akan menamatkan kontraknya pada 22 Jun ini.
Pelantikan rasmi itu disempurnakan dalam Majlis Serah Terima Tugas yang disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Bukit Aman.
Mohd Khalid, 59, sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Cawangan Khas mulai 8 Mei 2023, selepas dinaikkan daripada jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I yang disandangnya sejak 25 Oktober 2022.
Berpengalaman luas dalam bidang risikan dan keselamatan, beliau mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 5 April 1987 dan memulakan khidmat di Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Sepanjang perkhidmatannya, Mohd. Khalid turut menyandang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Security Liaison Officer (SLO) di London, United Kingdom serta bertugas di pelbagai peringkat kontinjen dan Ibu Pejabat Bukit Aman.
Dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak, beliau merupakan graduan Sarjana Undang-Undang Perbandingan (Comparative Laws) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pada 2 November 2023, beliau dikurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menerusi pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang keselamatan negara, pelantikan Mohd. Khalid dilihat sebagai kesinambungan kepimpinan yang diyakini mampu membawa pembaharuan dan memperkukuh PDRM dalam menghadapi cabaran semasa dan akan datang. – UTUSAN











