KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berdiri sendiri di bawah satu kementerian tersendiri selepas dilihat menjadi agensi ketiga terbesar bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas sektor kesihatan dan pendidikan.
Ketua Polis Negara Ke-14, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas cadangan berhubung perkara itu telah pun diangkat kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk pertimbangan.
Beliau berkata, cadangan itu merujuk kepada penanda aras agensi polis antarabangsa seperti di China, Brazil, Vietnam, Korea Selatan dan Brunei yang turut diletakkan di bawah satu kementerian khusus.
“Saya melihat keperluan ini sebagai suatu resolusi penting untuk memastikan PDRM terus relevan, selari dengan evolusi era globalisasi dan digital masa kini.
“Besar harapan saya bersama barisan kepimpinan tertinggi pasukan agar cadangan ini dapat direalisasikan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Undur Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur .
Razarudin optimis bahawa resolusi itu mampu membawa kebaikan dan perubahan besar dalam memperkasakan perkhidmatan awam demi kemaslahatan bersama.
“Umum mengetahui, ketiga-tiga sektor ini hanya menaungi satu agensi tunggal di bawah satu kementerian
“Untuk itu, saya percaya keupayaan PDRM akan menjadi lebih utuh sekiranya diletakkan di bawah satu kementerian khusus,” jelasnya.-UTUSAN











