KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan dihukum penjara setahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana bersubahat menipu seorang pegawai bank menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan telefon pintar bernilai lebih RM8,000, Februari lalu.
Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu terhadap Salman Abdullah, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, Salman didakwa bersubahat dengan seorang wanita berusia 32 tahun dengan menggunakan slip gaji syarikat tidak wujud dan kad pengenalan palsu untuk memperdaya seorang pegawai bank bagi meluluskan pinjaman pembelian iPhone 16 Pro Max bernilai RM8,329.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di sebuah kompleks membeli-belah, Jalan Peel, Cheras pada 1 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, peguam bela, Edwin Tomas yang mewakili Salman memohon hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak yang masih bersekolah selain bekerja sebagai penghantar makanan dengan pendapatan tidak tetap.
“Anak guam saya menyesal, insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan. Dia telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan hanya memainkan peranan sebagai pembantu dalam kes ini,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran memandangkan kesalahan melibatkan penggunaan dokumen palsu untuk menipu institusi kewangan.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara satu tahun bermula hari ini. – UTUSAN










