Zelensky lantik komander tentera darat baharu Ukraine - Utusan Malaysia

Zelensky lantik komander tentera darat baharu Ukraine

VOLODYMYR ZELENSKY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada Khamis mengumumkan pelantikan Gennadiy Shapovalov sebagai Komander Angkatan Darat negara itu yang baharu, menggantikan komander terdahulu yang meletak jawatan susulan serangan maut Russia terhadap kawasan latihan tentera Ukraine baru-baru ini.

Shapovalov sebelum ini pernah bertugas sebagai pegawai perhubungan ketenteraan Ukraine di Jerman dan juga mengetuai daerah ketenteraan selatan Ukraine.

Dalam ucapan khas, Zelensky menyatakan harapan Shapovalov mampu membawa “pengalaman tempur sebenar” ke dalam peranan penting tersebut disamping turut menggesa agar perubahan drastik dilaksanakan dalam struktur ketenteraan negara yang kini sedang berhempas-pulas mempertahankan wilayah daripada serangan berterusan tentera Russia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perubahan amat diperlukan. Ini bukan pilihan, tetapi kewajipan,” tegas Zelensky dalam siaran itu.

Pasukan tentera Russia membuat kemaraan yang ketara di sepanjang garis hadapan lebih setahun kebelakangan ini, termasuk di wilayah Sumy yang sebelum ini tidak diduduki Kremlin sejak permulaan pencerobohan pada 2022.

Usaha untuk mengadakan rundingan damai bagi menamatkan konflik masih buntu dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan dalam masa yang sama, tumpuan utama Washington, sekutu utama Kyiv dilaporkan semakin beralih ke arah krisis yang sedang memuncak di Asia Barat.

Russia dalam kenyataannya menyatakan keterbukaan terhadap penyelesaian damai, namun Ukraine menuduh Moscow sengaja mensabotaj rundingan bagi melanjutkan tempoh peperangan.

Konflik Russia-Ukraine yang kini memasuki tahun keempat terus mencabar ketahanan politik dan ketenteraan Kyiv, sekali gus memerlukan kepimpinan tentera yang lebih cekap serta strategi medan perang yang lebih berkesan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×