Bersikap bijak, jangan terjerat maklumat palsu

Bersikap bijak, jangan terjerat maklumat palsu

PENTING untuk merujuk kepada badan atau pihak berautoriti sebelum menyebarkan maklumat kerana ia boleh memberi kesan kepada individu dan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELURUH umat manusia berada dalam lautan modernisasi yang sarat dengan perkembangan ilmu sains serta kepesatan ledakan teknologi maklumat. 

Kecanggihan teknologi serta perkembangan era globalisasi membuka tirai baharu dalam cara berkomunikasi sehingga membolehkan hubungan tanpa sempadan diwujudkan meskipun terpisah ribuan kilometer. 

Kemajuan internet turut menjadi pemangkin utama kepada pelbagai manfaat sejagat, sama ada menerusi platform digital seperti laman sesawang, blog serta pelbagai medium media sosial yang berkembang pesat dan dinamik.

Melalui kemajuan teknologi ini, segenap jenis maklumat dapat diakses dan disebarkan dengan begitu mudah dan pantas tanpa mengira lokasi geografi. Hanya dengan menaip kata kunci pada enjin carian internet, pelbagai maklumat yang diperlukan akan terpampang dalam sekelip mata.

Dari sudut yang positif, fenomena ini amat membantu dalam usaha pencarian ilmu, pengemaskinian berita semasa, pencapaian maklumat dan juga penghayatan dalam ilmu agama. 

Dunia maya kini menjadi medan terbuka dengan sesiapa sahaja bebas berinteraksi, menulis dan berkongsi pelbagai bentuk idea, pandangan serta maklumat kepada khalayak global.

Namun begitu, setiap maklumat yang ingin dikongsi di alam maya perlulah diteliti dan disahkan terlebih dahulu agar tidak terjerumus dalam penyebaran berita palsu. Realitinya,  penyebaran berita palsu merupakan ancaman yang signifikan iaitu dengan wujudnya individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab mencipta dan menyebar maklumat yang direka-reka untuk mengelirukan masyarakat.

Penyebaran berita atau maklumat palsu tidak wajar dijadikan budaya apatah lagi dalam sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan asas kepada nilai kehidupan bermasyarakat. 

Tindakan menyebarkan maklumat yang tidak sahih tidak membawa sebarang manfaat mahupun menyumbang kepada pembinaan nilai-nilai murni dalam proses pembangunan insan. Sebaliknya, ia membawa padah yang besar serta kesan negatif yang mendalam terhadap masyarakat dan negara.

Hasilnya, beberapa implikasi buruk yang timbul antaranya kecelaruan emosi dan gangguan ketenteraman jiwa, keretakan institusi kekeluargaan, perpecahan hubungan persaudaraan, tercetusnya konflik sosial, penyebaran ajaran serta ideologi sesat, ketidaktenteraman politik dan penghakisan integriti mahupun jati diri dalam kalangan masyarakat.

Agama Islam memandang serius perbuatan ini malah memberi peringatan tegas. Rasulullah SAW menekankan kepentingan berhati-hati dalam bertutur kata kerana ramai dalam kalangan umat Islam yang memandang ringan terhadap apa yang diucapkannya. 

Ramai yang tidak menyedari kata-kata yang diungkapkan mungkin mengandungi unsur fitnah atau dusta yang boleh mengheretnya ke lembah azab neraka. Perkara ini juga menunjukkan betapa ajaran Islam sangat menuntut umatnya agar bersikap jujur, bertanggungjawab dan beretika dalam menyampaikan sesuatu berita, sama ada secara lisan mahupun melalui medium digital.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa atau tidak berdosa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun”. (Hadith Riwayat Imam al-Tirmizi).

LANGKAH MEMBENDUNG

Dalam membanteras budaya penyebaran berita dan maklumat palsu yang semakin menular, langkah-langkah proaktif perlu digembleng secara berterusan agar penggunaan internet dapat dibudayakan secara positif, berhemah dan beretika, sekali gus menghindari penyalahgunaan platform digital dalam kalangan masyarakat.

Antara panduan yang wajar diberi perhatian dengan memastikan sumber maklumat tersebut datang daripada pihak yang sah, berautoriti dan boleh dipercayai. Pengguna juga hendaklah bersikap teliti dan cermat dalam memahami kandungan yang dibaca serta memastikan ia disandarkan pada fakta  sahih, bukan sekadar bersifat andaian atau berunsur sensasi.

Di samping itu, setiap maklumat yang diperoleh perlulah diteliti secara mendalam melalui penyelidikan dan semakan silang daripada pelbagai sumber diiktiraf. Penting bagi pengguna menilai sesuatu isu daripada pelbagai perspektif, terutamanya apabila terdapat lebih daripada satu pandangan atau interpretasi, agar penilaian yang dibuat bersifat adil, seimbang dan tidak dipengaruhi oleh sentimen yang salah dan sempit.

Sehubungan itu, dalam menghadapi penyebaran sesuatu berita atau maklumat, umat Islam hendaklah sentiasa mengamalkan prinsip Tabayyun iaitu melakukan siasatan dan penelitian secara teliti sebelum berkongsi apa-apa maklumat. Lebih-lebih lagi jika berita tersebut datang daripada individu yang tidak dikenali atau diragui kewibawaan dan integritinya. Amat wajar bagi kita bersikap berwaspada agar tidak terlibat dalam penyebaran fitnah, sekali gus menghindarkan diri daripada kemurkaan Allah SWT.

Prinsip tabayyun ini bukan sahaja menjamin ketepatan maklumat malah mencerminkan akhlak seorang Muslim yang bertanggungjawab dalam menyampaikan kebenaran.

Selain itu, dalam kita menerima sesuatu berita atau maklumat, amatlah penting untuk merujuk terlebih dahulu kepada badan-badan berautoriti yang diiktiraf bagi memastikan kebenaran, kesahihan dan ketepatan maklumat tersebut. Hal ini kerana terdapat situasi di mana sesuatu maklumat dilabel sebagai palsu walaupun ia sebenarnya benar, dan begitu juga sebaliknya.

Sebagai contoh, bagi isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan, penyakit atau ubat-ubatan, rujukan sewajarnya dibuat kepada pihak Kementerian Kesihatan  (KKM) selaku pihak berautoriti dalam bidang perubatan dan kesihatan awam. 

Manakala dalam perkara yang menyentuh hukum hakam agama, meskipun terdapat ramai asatizah yang membincangkan isu-isu agama di pelbagai platform media sosial, umat Islam hendaklah merujuk kepada institusi agama yang sah dan berautoriti sahaja seperti Jabatan Mufti di setiap negeri bagi mendapatkan penjelasan tepat, sahih dan berautoriti.

Kewajipan ini adalah penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, seterusnya menjauhkan diri daripada terjebak dalam ajaran sesat, penyimpangan akidah serta amalan yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW. 

Maka, rujukan kepada pakar yang berkelayakan adalah lambang ketelitian dan keprihatinan seorang Muslim terhadap kebenaran dan juga amanah ilmu. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 43: “Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui”.-UTUSAN

 DR. Mohd Ashrof Zaki Yaakob ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara  (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×