Pemandu lori dipenjara 10 tahun, 20 sebatan rogol anak kandung

Pemandu lori dipenjara 10 tahun, 20 sebatan rogol anak kandung

SEORANG lelaki dibawa ke Mahkamah Sesyen, Klang, Selangor semalam bagi berdepan pertuduhan memperkosa anak kandungnya sendiri.– UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan 20 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana memperkosa anak kandungnya sebanyak dua kali.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman tersebut ke atas lelaki berumur 37 tahun itu selepas dia mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut pada kali pertama merogol anaknya ketika itu berumur 10 tahun dekat ruang tamu sebuah rumah di Meru kira-kira pukul 3 petang, 10 November 2024.

Tertuduh mengulangi perbuatannya enam bulan kemudian dekat bilik belakang di rumah sama pada 17 Mei lalu kira-kira pukul 7 pagi.

Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan itu ketika isterinya tiada di rumah. Bapa kepada dua orang anak itu dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat mengambil kira perbuatan tertuduh.

“Tertuduh diberikan amanah untuk menjaga anaknya tetapi mengkhianati amanah tersebut. Malah mangsa mengalami trauma akibat kejadian itu. Jadi, mohon mahkamah kenakan hukuman berat ke atas tertuduh,” katanya.

Lelaki itu yang tidak diwa­kili peguam merayu mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan hanya dia yang be­kerja bagi menyara isteri dan anak-anaknya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×