GUA MUSANG: Mayat seorang lelaki yang terjun ke dalam sungai akibat terkejut dengan kehadiran polis, ditemukan tersangkut pada ranting dahan kayu di dalam Sungai Aring 2 di sini hari ini, selepas hampir 40 jam hilang.
Mangsa yang berusia 42 tahun dijumpai oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 12.20 tengah hari, kira-kira satu kilometer dari lokasi lelaki itu dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, anggota Pasukan Penyelamat Di Air Balai Bomba Gua Musang melakukan selaman sebelum menjumpai mayat seorang lelaki yang dipercayai hilang kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Mangsa dilaporkan terkejut dengan kehadiran pihak polis dan dipercayai bertindak terjun ke dalam Sungai Aring 2 di Felda Aring 2 di sini kira-kira pukul 7 malam kelmarin,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Choon Foo memberitahu, siasatan awal mendapati, anggota polis menjalankan tugasan Op Tapis dan telah pergi ke perumahan Felda Aring 2.
“Apabila sampai di kawasan tersebut, anggota melihat dua lelaki berada di tepi jalan perumahan tersebut sebelum mereka melarikan diri. Anggota polis telah mengejar kedua-dua lelaki tersebut dan mereka telah hilang daripada pandangan. Selepas itu, anggota telah membuat pemeriksaan di kawasan sekitar dan mengesyaki seorang lelaki telah terjun ke dalam sungai berhampiran,” katanya. – UTUSAN









