APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif untuk melaksanakan program Kampung Angkat Madani semasa pembentangan Belanjawan 2024, antara matlamat utamanya untuk merapatkan jurang antara bandar dan desa.
Sepanjang tahun lalu, sebanyak 43 buah kampung dipilih dalam program ini yang memberi manfaat kepada kira-kira 83,000 penduduk kampung. Setiap ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan-jabatan kerajaan diberi tanggungjawab menerajui kampung yang dipilih dengan rata-rata diberi peruntukan sebanyak RM2.5 juta.
Program ini dilaksanakan secara pendekatan keseluruhan kerajaan, yang mana Kementerian Kewangan menyediakan dana, sementara Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bertanggungjawab memantau pelaksanaan program dan sinergi pelbagai agensi kerajaan bagi penyediaan kemudahan asas yang diperlukan.
PENGALAMAN NEGARA LUAR
Idea pelaksanaan program Kampung Angkat Madani lahir daripada pengalaman beberapa negara. Program ini merupakan kombinasi fokus yang pernah dibuat negara-negara luar seperti pembangunan modal insan di Korea Selatan, pembangunan infrastruktur kepada kumpulan spesifik (Indonesia) dan peningkatan teknologi digital (Thailand).
Menariknya, kesemua elemen ini cuba digabung dan diterjemahkan dalam program sama di Malaysia.
Program Saemaul Undong Korea Selatan dilaksanakan sejak awal 1970-an hingga 1990-an memberi impak besar kepada peningkatan ekonomi negara tersebut. Program ini melibatkan kerjasama kerajaan, swasta dan komuniti setempat. Melalui pegangan prinsip ‘bantuan membantu diri sendiri’, memberi fokus pembangunan modal insan dalam program ini.
Kejayaan program ini disumbangkan kombinasi penyediaan infrastruktur asas, pembangunan industri desa serta pendidikan dan latihan kemahiran.
Hasilnya, peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) luar bandar daripada AS$100 (RM424) kepada AS$1,000 (RM4,224) dalam masa 10 tahun, serta 34,000 koperasi desa ditubuhkan.
Program ini turut diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai model pembangunan luar bandar terbaik.
Indonesia pula memperkenalkan model Desa Pesisir Mandiri (DPM). Program ini memodenkan aktiviti perikanan tradisional melalui bantuan teknologi akuakultur, membangunkan industri hiliran seperti pemprosesan ikan dan produk marin serta mewujudkan pusat pemasaran kolektif untuk hasil tangkapan. Justeru, pembangunan infrastruktur seperti dermaga-desa dan fasiliti penyimpanan ikan, penyediaan sistem penyejukan solar untuk hasil tangkapan serta pemuliharaan kawasan pesisir melalui penanaman bakau yang dilaksanakan memberi impak positif kepada nelayan.
Hal ini dibuktikan melalui peningkatan 40 peratus pendapatan nelayan kecil di Jawa Timur, penambahan aktiviti penangkapan ikan dan 150 koperasi nelayan di seluruh Indonesia ditubuhkan.
Program Kampung Pintar Thailand melibatkan penyediaan infrastruktur internet berkelajuan tinggi, sistem pengairan pintar untuk pertanian dan aplikasi e-dagang untuk produk desa. Dari segi pendidikan digital pula, Thailand membangunkan pusat pembelajaran digital komuniti, menyediakan latihan kemahiran sistem teknologi maklumat (ICT). Kampung Ban Khlong Kung di Samut Songkhram berjaya meningkatkan jualan produk tempatan melalui platform digital, purata pendapatan isi rumah meningkat 30 peratus dalam tempoh dua tahun dan pengurangan migrasi belia sebanyak 25 peratus.
KEJAYAAN
Pulau Aman, Pulau Pinang merupakan program Kampung Angkat Madani pertama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2024. Sebanyak 35 projek dilaksanakan, melibatkan peruntukan RM2.47 juta. Dari jumlah itu, sebanyak RM1.9 juta diperuntukan bagi pelaksanaan 12 projek fizikal dan 23 projek bukan fizikal yang dikelompokkan dalam dua kategori bernilai hampir RM570,000.
Kesemua projek ini memberi manfaat kepada 43 buah rumah di kampung tersebut. Kemudahan infrastruktur melibatkan kerja-kerja membaik pulih, menaik taraf dan membina kemudahan baharu kepada penduduk seperti menaik taraf jeti penumpang, membina laluan semula jadi, menyediakan lampu jalan dan membaiki kemudahan awam.
Usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama erat ICU JPM, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (PDTSPS), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Manakala, projek bukan fizikal pula melibatkan keceriaan kampung dan perkhidmatan sosial yang dilaksanakan secara kerjasama bahagian-bahagian di JPA, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Kelab JPA.
MENERUSKAN PENCAPAIAN
Kampung Baru Seri Menanti, Negeri Sembilan merupakan Kampung Angkat Madani JPA bagi tahun ini. Tidak seperti tahun sebelumnya, peruntukan dana dihadkan kepada RM1.6 juta melibatkan peruntukan JPA, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan ICU JPM.
Fokus utama perbelanjaan adalah untuk menaik taraf dan membina infrastruktur seperti membaiki dan menaik taraf beberapa kemudahan asas kampung, memasang lampu solar serta membina pusat pengumpulan produk tempatan.
Lebih menarik, JPA memilih tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin dan Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana Nasir sebagai sekolah angkat.
Beberapa projek infrastruktur seperti menaik taraf makmal sains, dewan makan asrama, bilik guru, dewan peperiksaan dan bengkel pembuatan dirancang serta turut diperluaskan kepada pendigitalan pendidikan.
Program motivasi kepimpinan, bantuan kewangan pelajar dan latihan pembangunan modal insan akan turut dilaksanakan.
Inisiatif ini terbukti mencapai objektif serta membawa manfaat yang dapat dinikmati penduduk kampung. Program ini mengeratkan hubungan kerajaan dan rakyat.
Pengalaman luar negara juga membuktikan pendekatan seragam tidak efektif dalam menangani isu pembangunan luar bandar.
Sehubungan itu, Malaysia seharusnya bijak dalam menentukan keperluan sebenar sesebuah kampung dan disesuaikan dengan program pembangunan yang ditawarkan.
Memasuki tahun kedua pelaksanaannya, program Kampung Angkat Madani diperluaskan kepada Sekolah Angkat Madani, yang mana kelak akan menawarkan kemudahan yang lebih baik serta memberi keselesaan pengajaran dan pembelajaran kepada guru serta pelajar.
Kedua-dua program ini merupakan cetusan idea Anwar yang mahukan kolaborasi agensi kerajaan merentasi ‘tembok silo’ bagi menghasilkan program berimpak besar.
Hasrat ini seharusnya diberi perhatian dan direbut semua pihak terlibat bagi memastikan agenda Malaysia Madani dapat mencapai matlamatnya dalam mengangkat darjat kehidupan rakyat Malaysia.-UTUSAN
TAN Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.










