PETALING JAYA: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kini lebih mudah membuka akaun perniagaan menerusi produk baharu, TNG Akaun Perniagaan yang diperkenalkan TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital).
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, pihaknya memperkenalkan TNG Akaun Perniagaan sebagai satu inovasi bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pekerja gig mengembangkan perniagaan secara digital lebih mudah dan selamat.
Katanya, penyelesaian itu dibangunkan bagi menghapuskan halangan tradisional dalam pembukaan akaun perniagaan tanpa memerlukan bayaran, dokumen fizikal atau baki minimum.
Katanya, ini sekali gus membuka laluan kepada mereka yang sebelum ini sering terpinggir daripada sistem kewangan formal.
“Walaupun PMKS menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hampir separuh daripada tenaga kerja negara, masih ramai yang berdepan kesukaran mengakses kemudahan kewangan digital.
“Dengan TNG Digital Akaun Perniagaan, mereka boleh menerima bayaran, mengurus transaksi dan membuat pindahan wang dengan mudah hanya melalui telefon mudah alih,” katanya dalam Majlis Pelancaran TNG Digital Akaun Perniagaan di sini hari ini.
Terdahulu, Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh.
Fuziah berkata, Akaun Perniagaan TNG Digital itu mampu memberi nilai tambah kepada golongan PMKS di negara kita.
“la merupakan langkah penting ke arah mewujudkan sistem yang lebih mudah diakses, khususnya bagi mereka yang sebelum ini kurang mendapat manfaat daripada kemudahan digital.
“Inisiatif seperti ini bukan sekadar berkaitan teknologi, tetapi juga memastikan semua pihak berpeluang untuk turut serta dan meraih manfaat dalam perkembangan ekonomi baharu,” katanya. – UTUSAN







