KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menerajui pelaksanaan Inisiatif Kawalan Inflasi Perubatan (RESET) bagi menangani isu kos penjagaan kesihatan yang tinggi di negara ini.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, usaha tersebut merangkumi penambahbaikan insurans kesihatan dan takaful, peningkatan ketelusan harga, pendigitalan sistem kesihatan, pengembangan pilihan rawatan kos efektif serta penambahbaikan mekanisme pembayaran.
Katanya, usaha itu turut mendapat sokongan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan serta pihak berkepentingan lain, dengan matlamat mewujudkan ekosistem kesihatan yang lebih cekap, inklusif dan mampan.
“Kejayaan program RESET bergantung kepada kerjasama semua pihak dalam membina ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan mampan,” katanya pada majlis pelancaran Sasana Simposium 2025 di sini, semalam.
Menurutnya, isu ini akan juga diperincikan dalam sesi panel bertajuk Rising Cost, Rising Stakes: Expediting Reforms to Address Medical Inflation yang akan menampilkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican, Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Akash Mohapatra serta dirinya.
Sasana Simposium bertemakan Pembaharuan Struktur: Membina Daya Tahan Malaysia, berlangsung pada 17 Jun hingga 18 Jun 2025 bertujuan mengetengahkan perbincangan mengenai reformasi struktur dalam pelbagai sektor di Sasana Kijang, Kuala Lumpur.
Antara topik yang dibincangkan termasuk literasi kewangan, sistem pembayaran, aset digital, kestabilan monetari, penipuan kewangan serta pembaharuan sektor kesihatan yang merupakan asas penting ke arah Malaysia yang lebih kukuh dan bersedia.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam memacu agenda hijau BNM, perkembangan inisiatif Penghijauan Rantaian Nilai (GVC) yang diperkenalkan di Malaysia pada 2022, kini semakin rancak.
Jelasnya, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia turut berkongsi pengalaman dan pembelajaran untuk menyokong usaha serantau dalam membina ekonomi negara-negara ASEAN yang mampan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
“Saya juga sukacita ingin memaklumkan bahawa Makmal Inovasi Kewangan Iklim (CFIL), sebuah inisiatif Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) sudah memulakan operasi.
“CFIL bertindak sebagai platform kerjasama untuk membangunkan dan menguji penyelesaian kewangan baharu untuk projek iklim dan berkaitan alam semula jadi.
“Maklumat lanjut mengenai hal ini akan dibincangkan esok dalam sesi panel ‘Building Climate Journey: How Wide Ranging is the Funding Mechanism’,” katanya.-UTUSAN










