Petronas perteguh portfolio huluan

Petronas perteguh portfolio huluan, disiplin kos hadapi cabaran tenaga global

MOHD. JURKIS ABDUL WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mempergiatkan usaha membina ketahanan jangka panjang dan membuka nilai yang lebih besar melalui penstrukturan semula portfolio huluannya, penilaian semula struktur kos serta menjalin kerjasama strategik di tengah-tengah landskap tenaga global yang tidak menentu.

Naib Presiden Eksekutif dan CEO Huluan Petronas, Mohd. Jukris Abdul Wahab berkata, syarikat kini menilai semula aset-aset yang dimiliki, khususnya yang tidak selaras dengan matlamat karbon rendah masa depan.

“Beberapa aset yang kita pegang hari ini mungkin tidak lagi membawa nilai jangka panjang selaras dengan sasaran karbon rendah kami. Penting untuk kita membuat pembetulan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu forum industri bertajuk ‘Huluan di Persimpangan Strategik: Menjana Nilai Dalam Masa Depan sempena Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini. 

Beliau juga menyatakan Petronas sedang menilai semula pendekatan terhadap pengurusan risiko yang sebelum ini menyebabkan kos operasi yang tinggi akibat lapisan-lapisan jaminan.

“Kita telah terlalu berhati-hati sejak lima ke 10 tahun lalu. Kini, kita mencabar amalan tersebut dengan menjadi lebih toleransi terhadap risiko, bagi mengurangkan kos tidak perlu dan meningkatkan kecekapan operasi.

“Disiplin modal akan kekal sebagai keutamaan bagi mengoptimumkan sumber terhad untuk pulangan maksimum, terutamanya dalam menyokong agenda peralihan tenaga Petronas. 

“Dalam persekitaran dengan kekangan modal, kita perlu sangat berhati-hati dan strategik dalam penyaluran modal,” katanya. 

Sebagai sebahagian daripada strateginya, Petronas juga sedang meneroka kerjasama unik bersama pemain industri lain untuk membuka peluang baharu. 

Katanya, antara  inisiatif yang sedang dipertimbangkan ialah penubuhan entiti bebas yang dibiayai sendiri bagi memudahkan kerjasama lebih erat dalam pembangunan aset dan penjajaran dasar.

“Kita sedang merangka penubuhan entiti bebas yang akan menyatukan kekuatan organisasi dari sudut aset dan dasar ini berpotensi membuka lebih banyak nilai.

“Langkah ini adalah selari dengan visi Petronas untuk kekal tangkas, cekap dan relevan dalam landskap tenaga yang semakin kompleks dan kompetitif,” katanya. 

Antara panel yang terlibat dalam forum itu adalah Naib Pengerusi Kanan dan Ketua Strategi Tenaga, Dr. Atul Arya, Ketua Pegawai Operasi Sumber Asli Global dan Pengurus Besar Eni (sebuah syarikat tenaga multinasional Itali), Guido Brusco serta Naib Presiden Eksekutif, Perkhidmatan dan Peralatan Medan Minyak (OFSE), Baker Hughes, Amerino Gatti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×