TEL AVIV: Tentera Israel hari ini mendakwa membunuh komander tentera tertinggi Iran, Ali Shadmani, dalam serangan udara semalaman yang disasarkan di tengah Teheran.
Dalam kenyataan rasmi, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menyifatkan Ali sebagai tokoh paling kanan dalam struktur ketenteraan Iran dan memegang peranan sebagai Ketua Turus Perang, serta individu paling rapat dengan Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Menurut Israel, serangan itu menyasarkan pusat komando yang aktif dan dihuni, serta dilakukan selepas peluang mengejut dikesan oleh perisikan tentera.
Ali, yang baharu empat hari dilantik mengetuai Markas Pusat Khatam al-Anbiya, pusat operasi kecemasan tentera Iran, menggantikan Mejar Jeneral Gholam Ali Rashid yang terbunuh dalam serangan awal Israel pada Jumaat lalu.
Tentera Israel turut menyatakan bahawa Ali pernah mengetuai kedua-dua pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan angkatan tentera Iran.
Di bawah pimpinan Ali, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya bertanggungjawab menguruskan operasi tempur serta meluluskan rancangan serangan Iran.
“Dalam pelbagai jawatan yang disandangnya, beliau mempunyai pengaruh langsung terhadap rancangan serangan Iran ke atas Israel,” kata IDF.
Pemerhati ketenteraan menyifatkan pembunuhan dua tokoh utama itu dalam masa singkat sebagai tamparan ke[ada struktur ketenteraan Iran, dan berpotensi mempercepatkan tindak balas strategik dari Teheran.- AGENSI











