GAZA: Ketika konflik antara Iran dan Israel yang semakin memuncak, penduduk Gaza meluahkan kebimbangan penderitaan mereka semakin dilupakan dunia.
Dalam satu momen menyayat hati yang dirakam Ahad lalu, seorang kanak-kanak perempuan bernama Bisan Qwaider duduk di atas lantai berdebu sambil mendakap erat kasut ayahnya yang baru sahaja terkorban ketika cuba mendapatkan makanan untuk keluarganya.
Menurut jurugambar Khaled Sha’ath yang merakam detik menyedihkan itu, ayah Bisan, Shadi meninggalkan khemah keluarga mereka di kawasan Mawassi, selatan Gaza beberapa hari sebelum itu menuju ke Ma’an di timur Khan Younis untuk mencari makanan. Kawasan tersebut telah lama berada di bawah arahan pemindahan oleh tentera Israel dan menjadi sasaran serangan.
“Shadi tahu dia mengambil risiko, tetapi anak-anaknya lapar,” kata Sha’ath.
Shadi terkorban dalam satu serangan udara dan mayatnya ditemukan di bawah runtuhan pada Ahad.
Gaza kini berdepan krisis kebuluran yang semakin meruncing. Laporan disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada akhir April lalu menganggarkan seorang daripada lima penduduk Gaza sedang mengalami kebuluran dan seluruh wilayah itu berada di ambang kebuluran. Keadaan dilaporkan semakin memburuk sejak itu.
Menurut pihak kesihatan Gaza, ratusan rakyat Palestin telah terbunuh dalam beberapa minggu kebelakangan ini ketika cuba mendapatkan makanan.
CNN yang menghubungi Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengenai situasi di Ma’an hanya menerima maklum balas berupa peta Gaza yang menunjukkan lebih separuh wilayah itu ditanda sebagai zon pertempuran berbahaya.
Israel telah menarik balik sekatan penuh selama 11 minggu ke atas Gaza pada akhir Mei, namun kumpulan kemanusiaan mengatakan jumlah bantuan yang dibenarkan masuk masih terlalu kecil berbanding keperluan sebenar.
“Tanpa akses segera dan secara besar-besaran kepada keperluan asas untuk terus hidup, kita berisiko menuju kebuluran, kekacauan dan kehilangan lebih banyak nyawa,” kata Ketua Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, minggu lalu.
Krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza turut mencetuskan reaksi antarabangsa, termasuk dari sekutu rapat Israel. Bulan lalu, Perancis, United Kingdom (UK) dan Kanada mengeluarkan kenyataan bersama yang jarang dibuat, mengkritik Israel dan memberi amaran bahawa tindakan konkrit akan diambil sekiranya keadaan tidak bertambah baik.
UK telah menggantung rundingan perdagangan dengan Israel dan mengenakan sekatan terhadap penduduk penempatan haram di Tebing Barat. Kesatuan Eropah pula menyatakan akan mengkaji semula perjanjian kerjasama utama dengan Israel.










