LE BOURGET: Perancis mengambil langkah drastik menutup ruang pameran syarikat senjata Israel sempena Pertunjukan Udara Paris ekoran konflik yang memuncak di Iran dan Gaza, satu tindakan yang disifatkan Tel Aviv sebagai melampau dan tidak wajar.
Lima buah syarikat pertahanan Israel termasuk Israel Aerospace Industries (IAI), Rafael, Uvision, Elbit dan Aeronautics yang terlibat dalam pembuatan dron serta peluru berpandu berpandu dan bom pintar, telah dikenakan larangan mempamerkan produk mereka secara terbuka.
Pihak penganjur memasang dinding hitam tinggi di sekitar reruai syarikat terbabit di lokasi pameran Le Bourget, pinggir kota Paris, atas alasan produk yang dipamerkan mengandungi senjata ofensif yang boleh digunakan dalam konflik Gaza bertentangan dengan persetujuan awal dengan pihak berkuasa Israel, menurut sumber kerajaan Perancis kepada AFP.
Seorang wakil syarikat pertahanan Israel dilihat menulis mesej dalam kapur kuning pada salah satu dinding penghadang: “Sistem pertahanan yang disembunyikan ini sedang melindungi negara Israel ketika ini. Kerajaan Perancis, atas nama diskriminasi, cuba menyembunyikannya daripada anda!”
Presiden Israel, Isaac Herzog, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal dan menyeru agar isu tersebut segera diperbetulkan.
“Firma-firma Israel telah menandatangani kontrak dengan pihak penganjur ini seolah-olah mewujudkan ghetto Israel,” ujar Herzog dalam satu wawancara di saluran televisyen Perancis, LCI.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pertahanan Israel menuduh langkah Perancis itu sebagai bermotifkan politik dan bersifat berat sebelah komersial.
“Perancis berselindung di sebalik alasan politik untuk menyingkirkan senjata ofensif Israel dari pentas antarabangsa – senjata yang sebenarnya bersaing hebat dengan industri pertahanan Perancis,” kata kenyataan tersebut.
Tambah kementerian itu lagi, tindakan itu dianggap lebih menyakitkan memandangkan teknologi Israel telah terbukti berkesan dalam serangan mengejut ke atas tapak ketenteraan dan nuklear Iran pada Jumaat lalu dalam serangan yang mengorbankan beberapa komander kanan dan saintis negara itu.
Sebelum pameran dibuka, kehadiran syarikat Israel di Le Bourget sudah pun mencetuskan kontroversi di mana mahkamah Perancis minggu lalu menolak permohonan beberapa NGO yang cuba mengharamkan penyertaan syarikat-syarikat Israel atas alasan jenayah antarabangsa. —AGENSI










