Memecut menuruni bukit dengan kenderaan beroda yang digerakkan oleh graviti, sambil mengawal sepenuhnya arah dan kelajuan.
Itu antara pengalaman unik yang menanti anda di Skyline Luge Kuala Lumpur, Gamuda Gardens.
Pengunjung boleh mengawal sepenuhnya kelajuan kenderaan itu dengan menggunakan pemegang khas, menjadikannya sesuai untuk semua peringkat umur, daripada kanak-kanak hingga dewasa.
Terdapat empat trek berbeza disediakan iaitu lagenda, ultra, graviti dan ekspres, dengan jarak keseluruhan mencecah 1.6 kilometer.
Ia juga lengkap dengan selekoh-selekoh tajam dan laluan mencabar.
Tarikan utama trek ini adalah terowong LED sepanjang 160 meter, yang merupakan terowong terpanjang dalam portfolio Skyline di seluruh dunia.
Bagi yang inginkan pengalaman luar biasa, cubalah night luge, pengalaman menuruni bukit pada waktu malam sambil dikelilingi lampu LED berwarna-warni yang memukau.
Penggunaan helmet pintar dengan teknologi RFID bebas tangan, membantu merakam gambar dan video secara automatik ketika meluncur di trek.
Bukan sahaja menyeronokkan, tetapi pengalaman ini juga boleh dikenang melalui foto-foto aksi yang dirakam secara automatik sesuai untuk dikongsi di media sosial.
Bagi kanak-kanak yang mahu menunggang secara solo, ketinggian ditetapkan ialah sekurang-kurangnya 110 sentimeter.
Manakala yang berketinggian antara 85 hingga 110 sentimeter, mereka masih boleh menikmati permainan ini dengan ditemani orang dewasa.

Kerusi gantung
Pengunjung juga boleh mencuba cano skyride, kerusi gantung empat tempat duduk yang membawa anda ke puncak bukit sambil menikmati pemandangan indah sekitar Gamuda Gardens.
Bagi yang datang bersama keluarga, taman ini turut menampilkan funpark, taman permainan mesra kanak-kanak yang boleh dinikmati semua lapisan umur.
Jangan lepaskan peluang bermain air di big bucket splash yang pastinya menghiburkan si kecil mahupun ibu bapa.










