ATHENS: Sebuah pesawat rasmi milik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikesan mendarat di Lapangan Terbang Athens, Greece, pada petang Jumaat, beberapa jam selepas melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran.
Perkembangan terbaharu itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pemerhati politik dan pengguna media sosial yang mengaitkan kehadiran pesawat tersebut dengan langkah keselamatan tergempar atau misi diplomatik rahsia.
Laporan TRT Global menyatakan, data daripada laman pemantauan penerbangan FlightRadar24 menunjukkan laluan dan waktu pendaratan pesawat tersebut di Athens dengan jelas.
Susulan ketegangan yang kian memuncak di Asia Barat, kerajaan Greece mengaktifkan beberapa langkah keselamatan termasuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Dasar Luar dan Pertahanan (KYSEA) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis.
Kementerian Luar Greece turut mengeluarkan nasihat keselamatan kepada warganya agar sentiasa berada berhampiran tempat perlindungan serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan pada masa yang sama, ruang udara Israel ditutup sepenuhnya dengan semua penerbangan dihentikan di Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv.
Unit Pengurusan Krisis Greece turut diaktifkan bagi menyediakan bantuan kecemasan dan khidmat konsular kepada rakyat Greece yang masih berada di wilayah bergolak itu.
Kemunculan pesawat rasmi Netanyahu di Athens ketika Israel diserang balas Iran menimbulkan pelbagai tafsiran dan antara yang paling ketara ialah andaian ia merupakan langkah perlindungan awal terhadap sebarang kemungkinan serangan balas daripada Teheran.
Ada juga pihak yang mengaitkan kehadiran pesawat “Wing of Zion” itu dengan rundingan diplomatik tertutup bersama sekutu rapat seperti Amerika Syarikat (AS) memandangkan Greece merupakan antara lokasi strategik bagi pertemuan tidak rasmi.
Kenyataan tersebut memberi gambaran jelas Greece tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Netanyahu walaupun beliau berada di negara itu secara rasmi atau tidak. -AGENSI










