PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) meluluskan kemudahan pembiayaan Islam berjumlah RM180 juta untuk MAG Holdings Berhad (MAG) bagi mengukuhkan operasinya merentas rantaian nilai akuakultur halal.
Menurut kenyataannya, distrukturkan melalui Pembiayaan Berjangka-i dan Kemudahan Talian Perdagangan-i, kemudahan itu akan menyokong keperluan modal kerja dan perbelanjaan modal MAG.
Ini terutamanya dalam meningkatkan logistik rantaian sejuk, infrastruktur pertanian dan penetasan serta kapasiti eksport makanan laut halalnya.
“Pembiayaan itu mencerminkan komitmen MBSB Bank untuk memperkasakan industri pertumbuhan tinggi yang sejajar dengan agenda negara seperti Pelan Induk Industri Halal 2030, pelan hala tuju keselamatan makanan Malaysia dan strategi transformasi FLIGHT26 MBSB Bank.
“Dengan Malaysia menyasarkan untuk menjadi hab halal global, MBSB Bank terus membantu perniagaan berpotensi tinggi dengan penyelesaian bersepadu yang menggabungkan perbankan komersial dan kewangan pembangunan yang disampaikan melalui sinerginya dengan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF),” katanya.
Ketua Pegawai Perbankan Komersial Kumpulan MBSB Bank, Che Nazari Che Azid berkata, pihaknya berbangga untuk menyokong fasa seterusnya MAG dengan pembiayaan patuh syariah, berfokuskan pembangunan.
“Perkongsian ini mencerminkan keyakinan kami terhadap model perniagaan mereka dan komitmen kami terhadap sektor seperti akuakultur dan makanan halal iaitu keselamatan makanan, eksport dan kemampanan bersilang,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAG Holdings Berhad, Stephen Ng berkata, kemudahan ini hadir pada masa yang penting ketika syarikat mengembangkan pengeluaran dan mengukuhkan infrastrukturnya.
“Dengan sokongan MBSB Bank, kami berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memajukan kebolehkesanan halal dan akuakultur yang mampan serta memimpin dengan tujuan dan daya tahan,” ujarnya.
MAG adalah satu daripada beberapa pemain akuakultur bersepadu di Malaysia dengan kapasiti untuk menguruskan proses hujung ke hujung daripada penetasan dan ladang pembesaran kepada pemprosesan, penyimpanan sejuk dan eksport.
Dengan protokol pensijilan halal yang kukuh dan peningkatan permintaan daripada pembeli domestik dan antarabangsa, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan kehadirannya merentasi pasaran utama di Asia dan Asia Barat.
Pembiayaan terbaharu daripada MBSB Bank ini akan menyediakan MAG dengan kecairan dan ruang utama untuk mengoptimumkan struktur modalnya, meningkatkan produktiviti dan memenuhi standard global yang semakin berkembang untuk kebolehkesanan, pematuhan serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).-UTUSAN










