PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini akan memilih individu yang benar-benar layak menyandang jawatan tertinggi dalam pemilihan parti akan datang.
Ini bagi mengelakkan sejarah pengkhianatan berulang seperti beberapa pemimpin parti terdahulu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Padang Serai, Karupaiya Mutusami berkata, kepercayaan itu antara lain meletakkan mereka yang memiliki profail bersih dan mampu berkhidmat untuk parti dan rakyat dengan penuh kesetiaan berdasarkan keluhuran perlembagaan parti PKR.
Menurut beliau, walaupun pemilihan parti bukan lagi menjadi fokus melainkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), ia dilihat sebagai yang terbaik demi mengelakkan berlaku kucar-kacir dalam struktur pimpinan parti sebelum pilihan raya.
“PKR sudah sebulat suara dan bekerjasama antara satu sama lain bahawa soal pemilihan parti akan diserahkan kepada pucuk pimpinan pusat dan Presiden PKR tentang siapa yang layak menerajui masa depan parti.
“Setiap negeri ada majlis pimpinan negeri masing-masing dan mereka akan mencalonkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen untuk diserahkan kepada Anwar untuk bersetuju dan juga dilantik di kawasan masing-masing.
“Cuma sekarang, PKR tidak mahu menumpukan pada pemilihan parti dibimbangi akan ada pihak luar yang mahu menjadi ‘batu api’ supaya PKR berpecah-belah. Lepas PRU-15 baru fokus,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, PKR memutuskan untuk tidak mengadakan pemilihan parti tahun ini dan ia ditangguhkan selama tempoh tidak melebihi 18 bulan.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin masing-masing pernah menyandang jawatan tertinggi sebagai Timbalan Presiden PKR dan Ketua Wanita PKR namun kedua-duanya membelot kepada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ini menjadi detik hitam buat PKR ditambah beberapa pemimpin PKR lain keluar parti sejak Langkah Sheraton yang menuntut parti membuat pembaharuan dalam menghadapi PRU-15 akan datang.
Mengulas lanjut, Karupaiya berkata, semua ahli majlis pimpinan pusat dan akar umbi berpuas hati dengan kepemimpinan Anwar yang memainkan peranan penting dalam membawa hala tuju parti ke arah lebih jelas.
“PKR tidak hairan dengan anggota yang mengkhianat parti sebab parti ini akan tetap bertanding di kawasan mereka mahu bertanding. PKR tidak akan beri peluang kepada mereka yang pernah menang atas tiket PKR sebelum ini,” katanya. – UTUSAN











