KUANTAN: Seorang usahawan wanita tempatan membuktikan bahawa usia lewat bukan penghalang untuk menceburi bidang perniagaan kraf yang unik serta sarat nilai seni dan kelestarian alam.
Wan Nor Azizah Wan Derahman, 55, dari Taman Cenderawasih di sini berkata, beliau mengorak langkah dalam industri kraf tekstil berasaskan bahan semula jadi melalui teknik cetakan kreatif bermula usia 40 tahun.
Katanya, sejak mengusahakan perniagaan itu 15 tahun lalu, dia menghasilkan pelbagai produk kraf eksklusif menggunakan cetakan daun-daun hutan tempatan seperti senduduk, lemuni, jati, jarak, kari, pakis, melati Belanda dan kayu bakau.
“Teknik yang digunakan tidak hanya menyerlahkan keindahan flora semula jadi, tetapi memelihara nilai tradisi serta menyokong pemuliharaan alam sekitar.
“Menariknya, setiap produk memiliki corak yang eksklusif, hanya satu corak bagi setiap produk kerana ia dihasilkan berdasarkan keunikan semula jadi tumbuhan tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Wan Nor Azizah berkata, produk kraf yang dihasilkannya menggunakan teknik kukusan daun selama dua jam dan bahan-bahan itu diproses teliti selama tujuh hari, termasuk rawatan awal kain untuk memastikan warna semula jadi daripada daun kekal melekat pada fabrik.
“Tidak semua jenis daun menghasilkan warna semula jadi. Ada yang hanya memberikan bentuk sahaja. Justeru, pemilihan daun memainkan peranan penting dalam proses ini.
“Antara sumber warna utama ialah pokok indigo yang memberikan warna biru, kayu bakau untuk warna coklat, dan kayu secang yang dikenali dalam perubatan tradisional Cina bagi menghasilkan rona merah pekat.
“Proses pemilihan ini agak renyah kerana saya sendiri perlu masuk ke hutan untuk mengutip daun. Tetapi inilah yang menjadikan setiap helaian fabrik itu unik dan asli,” ujarnya.
Menurutnya, produk yang dihasilkan tidak hanya baju tetapi merangkumi pelbagai jenis barangan seperti beg tangan, kotak pensil, cermin tangan dan aksesori hiasan.
“Harga pula bermula serendah RM20 hingga RM120, bergantung pada saiz serta jenis daun yang digunakan,” katanya.
Sebagai usahawan berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) sejak lima tahun lalu, Wan Nor Azizah turut menerima pelbagai manfaat seperti kursus latihan, peluang menyertai pameran serta bantuan promosi.-UTUSAN











