DALAM masyarakat Malaysia yang kaya dengan adat dan budaya, nilai menghormati golongan dewasa dan warga emas merupakan tunjang keharmonian sosial.
Namun, dewasa ini, nilai tersebut kian terhakis dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Kita dapat perhatikan sendiri bagaimana generasi muda kurang menunjukkan rasa hormat kepada golongan dewasa dan warga emas.
Misalnya, mereka tidak tahu bagaimana untuk berkelakuan sopan di hadapan orang tua-tua, tidak sopan dalam penggunaan bahasa semasa berkomunikasi serta bersikap biadab dalam percakapan.
Sedikit demi sedikit, generasi muda merasakan tidak salah untuk berkelakuan biadab atau bercakap secara tidak sopan di hadapan orang dewasa. Selain di rumah, sikap ini juga menular ke sekolah dan dalam masyarakat.
Fenomena ini sesungguhnya menimbulkan kebimbangan tentang masa hadapan masyarakat yang beradab dan berbudi pekerti.
Sekiranya tidak diberi perhatian, tentulah ia akan menjadi seperti barah yang boleh menghakis dan membunuh nilai-nilai timur yang menjadi kebanggaan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Kita perlu sedar dengan maju, berpendidikan dan hidup mewah tidak bermakna perlu meminggirkan aspek kesantunan berbahasa dan budaya menghormati orang lain.
Amalan yang diperkatakan di sini bukanlah suatu perkara baharu. Sebaliknya, semua kaum dan agama di Malaysia mementingkan kesantunan, nilai-nilai murni, saling menghormati, menjaga adab dalam pergaulan serta memelihara keharmonian.
Sejak kecil, anak-anak dididik dengan nilai-nilai murni dan pendidikan moral.
Suntikan pendidikan agama juga diberi bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang kaya dengan nilai-nilai positif.
Kita pasti bersetuju yang segala didikan ini bertujuan memberi kesan positif kepada generasi muda.
Amalan menghormati orang tua mampu membentuk sahsiah mulia dalam diri anak-anak. Nilai kesopanan dan empati yang diterapkan sejak kecil bakal membentuk peribadi bertanggungjawab dan berakhlak tinggi.
Semua ini bukan hanya untuk menjadi seorang anak yang baik, sebaliknya sebagai bekalan sepanjang hayat.
Budaya menghormati orang lain mampu memelihara keharmonian sosial.
Hubungan antara generasi yang erat boleh mengukuhkan institusi keluarga dan melahirkan masyarakat harmoni.
Perlu diakui apa-apa nilai kekeluargaan yang diterapkan akan kemudian membantu anak-anak apabila menjadi sebahagian daripada masyarakat.
Generasi muda yang bersikap sopan dan tahu menghormati golongan dewasa pasti berpeluang memperkaya pengalaman diri dengan cara menghargai pengalaman serta kebijaksanaan warga emas.
Seorang individu yang kurang menghormati orang tua dan bersikap biadab tentu tidak berpeluang menimba ilmu serta pengalaman yang disalurkan golongan dewasa.
Amalan hormat-menghormati turut mencerminkan identiti budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Maknanya, anak-anak muda yang kurang beradab dan tidak menghormati orang lain pasti tidak mampu menyesuaikan diri untuk hidup secara harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum, budaya serta agama. Mereka akan menjadi kera sumbang dan dipinggirkan pula oleh orang lain.
Sikap saling menghormati dan berkomunikasi secara berhemah mampu juga mencegah konflik antara generasi, mengurangkan jurang antara kaum serta mengelakkan salah faham dalam masyarakat majmuk.
Perkara ini mungkin dianggap hal kecil tetapi tentu kita sedar yang konflik dan persengketaan besar biasanya bermula dengan hal-hal kecil.
Dalam membicarakan isu kurangnya rasa hormat dan kesantunan dalam kalangan generasi muda, kita perlu juga mengakui bahawa peredaran zaman dan perubahan hidup turut menyebabkan semua ini berlaku.
Kurangnya didikan awal menyebabkan anak-anak tidak memahami kepentingan menghormati orang tua. Tambahan pula apabila kita tidak lagi hidup dalam keluarga besar di mana datuk dan nenek berpeluang mendidik dan membimbing generasi muda.
PENGARUH
Pengaruh media sosial mendedahkan anak-anak kepada kandungan tidak sesuai, sekali gus mempengaruhi tingkah laku dan bahasa mereka. Ibu bapa sukar mengawal sepenuhnya akses media sosial dan kandungan dilayari anak-anak.
Budaya dan bahasa yang digunakan dalam filem juga memberi kesan dalam pembentukan diri anak-anak. Kalau dulu kita menonton filem bersama-sama sebagai sebuah keluarga, kini masing-masing menonton di komputer riba atau telefon bimbit. Kandungannya pula sukar dikawal.
Kecuaian ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya atau tidak menunjukkan contoh teladan baik sebenarnya banyak menyumbang kepada sikap kurang hormat anak-anak.
Sekolah bukan tempat paling utama anak-anak belajar disiplin dan kesantunan. Semua itu sebenarnya bermula di rumah dan ibu bapa menjadi ‘acuan’ yang membentuk peribadi anak-anak.
Kurangnya interaksi sosial dengan orang tua atau warga emas juga menyebabkan anak-anak tidak tahu cara berkomunikasi dengan sopan. Mereka tidak mampu membezakan antara cara percakapan sopan dan komunikasi yang kasar.
Sesungguhnya, pengaruh rakan sebaya yang bersikap kurang ajar boleh mempengaruhi tingkah laku anak. Namun, pada masa sama, jangan lupa anak-anak kita yang kurang beradab juga menjadi pengaruh negatif kepada rakan-rakan.
Huraian di atas bukan bertujuan menyalahkan sesiapa, sebaliknya untuk mengingatkan kita betapa isu yang diperkatakan ini benar-benar wujud di depan mata.
Tentulah belum terlewat untuk kita berusaha membetulkan keadaan. Misalnya, pendidikan awal di rumah mampu menanamkan nilai hormat sejak kecil melalui cerita, perbualan dan aktiviti bersama keluarga.
Ibu bapa dan guru perlu sentiasa menunjukkan sikap hormat dalam tindakan harian sebagai contoh kepada anak-anak yang belajar melalui pemerhatian.
Galakkan aktiviti bersama antara generasi seperti makan malam keluarga atau lawatan ke rumah warga emas dapat membentuk tingkah laku yang baik. Semua ini adalah langkah kecil yang mampu memberi kesan besar kepada usaha mengatasi masalah yang diperkatakan.
Dengan usaha bersama melibatkan keluarga, sekolah dan masyarakat, kita dapat memupuk kembali budaya hormat yang kukuh dalam generasi muda, sekali gus memastikan warisan budaya yang beradab dan berbudi pekerti terus terpelihara.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










