TEHRAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran Israel akan menghadapi akibat yang amat berat susulan serangan yang dilancarkan terhadap republik Islam itu awal pagi tadi.
“Dengan jenayah ini, rejim Zionis menetapkan nasib yang pahit dan menyakitkan untuk mereka sendiri, dan Israel pasti akan menerimanya,” kata Khamenei dalam satu kenyataan.
Angkatan Tentera Iran juga berikrar akan beri tindak balas yang keras terhadap serangan Israel, dengan pasukan pertahanan udara bersedia 100 peratus susulan serangan Israel ke atas Iran awal pagi Jumaat.
Jurucakapnya, Briged Jeneral Abolfazl Shekarchi, yang dipetik TV rasmi Iran, berkata Israel dan Amerika Syarikat (AS) akan membayar ‘harga yang tinggi’ susulan serangan Israel ke atas Iran.
Teheran mengesahkan Ali Khamenei dalam keadaan selamat dan sentiasa menerima taklimat mengenai perkembangan semasa, menurut sumber keselamatan kepada Reuters.
Menurut laporan terkini, satu letupan baharu kedengaran di tapak pengayaan uranium utama di tengah Iran, lapor televisyen rasmi negara itu.
“Letupan baharu kedengaran di fasiliti pengayaan uranium Natanz di wilayah Isfahan,” lapor penyiar berkenaan, sambil menayangkan kepulan asap hitam tebal dari tapak berkenaan.











