PETALING JAYA: Syarikat pengendali lori bermuatan batu kerikil yang terbabit dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lalu didapati melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk membawa muatan melebihi 70 peratus daripada had ditetapkan.
Antara kesalahan lain yang dikenal pasti adalah membawa muatan berbeza berbanding yang dibenarkan, tiada Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), gagal dalam ujian Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA).
Berdasarkan Laporan Awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan yang ditubuhkan untuk menyiasat nahas itu mendapati muatan sebenar yang ditetapkan untuk lori tersebut hanyalah 24,000 kilogram (kg) namun hari kejadian ia didapat membawa muatan sebanyak 40,960 kg.
“Rekod rasmi lori bernombor pendaftaran AKL4674 itu membawa muatan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) sehingga 40,960 kg iaitu 70.67 peratus melebihi had dibenarkan iaitu 24,000 kg,” katanya.
Katanya, tindakan itu menyalahi Seksyen 57(1)(b)(vi) APAD 2010 dan Kaedah 89 Kaedah-Kenderaan Bermotor.
“Pengurusan tenaga kinetik kenderaan adalah kritikal dalam keselamatan jalan raya. Sebagai contoh, lori dengan BDM 24,000 kg pada kelajuan 30 kilometer per jam (km/j) menghasilkan tenaga kinetik sekitar 833 kJ.
“Lori BDM 40,960 kg pada kelajuan sama menghasilkan 1,422 kJ iaitu hampir dua kali ganda. Berat dan kelajuan yang lebih tinggi meningkatkan impak kemalangan dan risiko kecederaan serius,” katanya.
Laporan mendapati tindakan pemandu lori bermuatan batu kerikil atau Lori Tipper itu telah memasuki arah bertentangan sebagai punca utama kejadian. Tindakan itu mengakibatkan pelanggaran dengan trak FRU yang sedang lalu di arah bertentangan.
Menurut laporan, lori tersebut membawa muatan batu kerikil walaupun jenis badan kenderaan adalah Lori Rigid – Coal (LDC) dan ia hanya dibenarkan membawa muatan batu arang.
“Pemeriksaan mendapati lori ini telah melanggar Seksyen 57(1)(b)(iii) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa muatan selain yang dibenarkan. Ia juga tidak mematuhi Pelan Teknikal Kenderaan yang diluluskan mengikut Kaedah 9A Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959,” katanya.
Katanya, berdasarkan Garis Panduan Penyemakan Pelan Teknikal Kenderaan 2015, ketinggian pagar sisi Lori Tipper Berat Dengan Muatan (BDM) kurang daripada 21,000 kilogram (kg) adalah 762 milimeter (mm) kecuali untuk muatan khas berketumpatan tertentu yang diluluskan sebagai jenis badan khas.
“Dalam kes ini, pagar sisi lori diluluskan setinggi 1,016 mm berdasarkan muatan batu arang yang mempunyai ketumpatan pukal lebih rendah berbanding batu kerikil.-UTUSAN.










