Jemaah seronok tetapi sayu tinggalkan Mekah

Jemaah seronok tetapi sayu tinggalkan Mekah

ABDUL Fattah Mohd. Fasor (kiri) memantau proses daftar masuk di Abraj Al Janadriyah, Mekah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah haji kumpulan KT001 yang bakal pulang dan tiba di tanah air esok teruja selepas seolah-olah dilayan se­perti orang kenamaan (VIP) menerusi perkhidmatan City Check In (CCI) disediakan Tabung Haji (TH) bagi memudahkan lagi pengurusan bagasi mereka.

Seorang jemaah wanita dari Pasir Putih, Kelantan, Nora’azidah Abd. Rahman, 51, berkata, proses daftar masuk bagasi semalam berjalan sangat lancar dari awal sehingga selesai.

“Alhamdulillah terima kasih TH, saya akan turun dahulu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum terus ke Kelantan. Allah sudah jemput ke sini dan syukur sangat, petugas-petugas semua beri kerjasama yang amat baik.

“Saya dan suami, Ramli Yahaya, 57, sangat berpuas hati, tidak sangka lebih macam VIP. Jadi bila check in di sini keluar ke lapangan terbang memang mudah tidak perlu bawa bagasi besar. Kami pun bawa dua beg saja menaiki pesawat, tidak lebih 30 kilogram,” katanya ketika ditemui pada proses CCI di Abraj Al Janadriyah semalam.

Seramai 284 jemaah haji dalam kumpulan KT001 dijangka menaiki pesawat pada pukul 5.40 pagi waktu tempatan esok dan tiba di KLIA pada pukul 8.10 malam hari sama waktu Malaysia.

Seorang pesara guru dari Pontian, Johor, Ali Salbi, 58, berkata, jadual yang disediakan TH untuk perjalanan pulang tersebut sangat teratur dan para jemaah dapat bersedia dalam keadaan selesa tanpa perlu mengangkut bagasi besar dan berat.

“Mengikut penerbangan yang ditetapkan jadi mudahlah kami bersedia, tidak tertunggu-tunggu. Kalau menunggu pun kami hanya tunggu di bilik dalam keadaan selesa.

“Sebenarnya nak balik ini memanglah seronok, tetapi di sini lagi seronok. Alhamdulillah dapat sampai ke sini, kebetulan pula saya sudah pencen jadi mungkin suasana itu lebih tidak memikirkan kehidupan di Malaysia. Sini lebih seronok, lebih tenang pada sayalah,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, Pengurus Operasi Maktab, Abdul Fattah Mohd. Fasor berkata, proses CCI pagi semalam tersebut adalah proses keluar melibatkan kumpulan KT001 yang pertama akan keluar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah.

“Untuk proses CCI ini mudah difahami, ia adalah proses di mana kita check-in bagasi tapi berlaku di bangunan pengenapan jemaah haji sendiri. Jadi kalau sebelum ini mungkin jemaah perlu bawa bagasi ke lapangan terbang.

“Bagi proses CCI hari ini sama dengan proses-proses yang berlaku di lapangan terbang yang mana ia melibatkan barangan dan bagasi, had muatan bagi pesawat Malaysia Airlines. Terdapat satu lagi agensi yang terlibat iaitu Saudi Airlines,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×