BANGI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan lebih ramai saksi berhubung penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang bernilai RM1.3 bilion melibatkan seorang Tan Sri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan kes penyelewengan dana sukuk itu akan mengambil masa dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi untuk disiapkan.
Kata beliau, ini kerana banyak dokumen dan penyata kewangan perlu dikaji serta dianalisa.
“Rakaman percakapan Tan Sri berkenaan akan bersambung pada hari ini. Setakat ini, kita sudah rakam keterangan 53 saksi,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Ke-2 Tahun 2025 di sini hari ini.
Laporan Utusan Malaysia hari ini menyatakan, anggaran bagi melengkapkan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk itu mengambil masa lebih kurang dua bulan atau lebih lama kerana ini kes berprofil tinggi melibatkan pengesanan aset di dalam dan luar negara.
Keterangan Tan Sri yang diambil SPRM selama enam jam semalam adalah berhubung projek lebuh raya itu.
Tan Sri berkenaan merupakan pemilik utama syarikat konsesi terbabit dan syarikat milik beliau memainkan peranan penting sebagai penggerak utama dalam pelaksanaan keseluruhan projek terlibat.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan jumlah sitaan yang melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang itu bernilai RM143 juta.
Bagi menyeleweng dana-dana berkenaan, pihak terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis (layering).
Pada masa yang sama, notis pengisytiharan harta juga telah diserahkan kepada Tan Sri dan pihak yang berkaitan.
Jumlah terkini sitaan melibatkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta; lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta, kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta; sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta.
Turut disita adalah jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta; tas tangan bernilai RM3 juta; barang kemas serta berlian (RM6 juta); empat ekor kuda bernilai RM400,000.
Selain itu, minuman beralkohol bernilai RM3 juta; aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta serta aktiviti perjudian yang dianggarkan kira-kira RM20 juta juga turut dirampas. – UTUSAN











