KUALA PILAH: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menafikan dakwaan bakal berlaku suhu panas tinggi berpusat di negeri ini hari ini.
Pengarah Jabatan Meteorologi Negeri Sembilan, Surina Othman berkata, seluruh kawasan di negeri ini ketika ini mencatatkan suhu normal dengan bacaan di bawah 34 darjah Celcius setakat kelmarin.
Katanya, ia termasuklah kawasan seperti daerah Kuala Pilah yang merekodkan purata suhu maksimum harian 31.6 darjah Celsius.
“Dakwaan di media sosial mengenai suhu panas yang tinggi bakal berpusat di Negeri Sembilan adalah tidak benar.
“Saranan saya adalah orang ramai perlu mendapatkan maklumat sahih dan rasmi melalui laman web atau media rasmi MetMalaysia,” kanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, tular dalam media sosial mendakwa pusingan panas dan kering bakal melanda Semenanjung Malaysia bermula dengan intensiti suhu paling tinggi dijangka berpusat di Negeri Sembilan pada 12 Jun.
Tambah Surina, berdasarkan konsensus beberapa model tinjauan iklim luar dan dalam negara, tiada suhu ekstrem dijangkakan kerana kebarangkalian sedang berada pada fasa ENSO-neutral.
Bagaimanapun, katanya, Negeri Sembilan dijangka bakal mengalami penurunan taburan hujan bulanan sepanjang musim Monsun Barat Daya.
Ujarnya, orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar terutama golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak bagi mengelakkan masalah kesihatan.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Monsun Barat Daya dijangka menyebabkan kebanyakan negeri di Semenanjung dan Sarawak mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak. – UTUSAN










