'Emak rebah dalam dakapan saya'

‘Emak rebah dalam dakapan saya’

MUHAMMAD HAIKAL Hassan bersama ibunya, Allahyarhamah Jamaliah Masron, jemaah haji ke-11 yang meninggal dunia di Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: “Emak rebah dalam dakapan saya sebelum disahkan meninggal dunia.”

Demikian cerita Muhamad Haikal Hassan, 36, anak kepada Allahyarhamah Jamaliah Masron, 68, jemaah haji ke-11 negara ini yang meninggal dunia ketika menunaikan Rukun Islam kelima kelmarin.

Jamaliah yang merupakan pesara guru dan berasal dari Taman Kota Jaya, di sini menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.05 petang (waktu tempatan) di Klinik Kecemasan Bangunan Abraj Janadriyah, kelmarin akibat serangan jantung.

Muhamad Haikal yang juga seorang guru di Pasir Gudang berkata, ibunya pernah dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) pada minggu kedua Syawal lalu dan doktor tidak menggalakkan ibunya ke Mekah, namun doktor di Institut Jantung Negara (IJN) memberikan keizinan untuk menunaikan ibadah haji memandangkan keadaan kesihatan ibunya baik kerana sentiasa menjaga pemakanan.

Muhamad Haikal memberitahu, ibunya demam dan selesema pada minggu pertama di Tanah Suci, mungkin disebabkan cuaca sangat panas.

“Emak ada mengadu letih, saya selalu elakkan bawa dia keluar waktu siang, macam hendak buat umrah wajib pun, saya bawa pergi lepas 12 tengah malam. Saya akan tolak emak guna kerusi roda.

“Kelmarin, ketika baru pulang dari Mina, nampak emak lemah masa sampai bilik, emak yang minta bawa pergi ke klinik dan cakap nak ke tandas kejap, baru dua tiga langkah saya papah, emak terus rebah dalam dakapan saya dan senyap. Ketika di klinik, mereka berikan bantuan pernafasan dan pertolongan cemas, namun selepas 30 minit, mereka sahkan emak meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, itu adalah pertama kali ibunya pergi menunaikan haji dan sangat gembira apabila menerima panggilan itu dan sebelum berlepas, ibunya ada memberi wang kepada ibu saudaranya bagi urusan doa selamat dan majlis kesyukuran.

“Selalu emak nak infak apa-apa, saya yang uruskan, dia akan bagi duit pada saya, mungkin juga dia tahu ajalnya akan tiba di Mekah dan saya pula bersama dia di sini, jadi dia serah wang kepada ibu saudara.

“Ibu saudara pun banyak kali tanya wang itu untuk apa, emak cakap, tak apa, nanti uruskan. Emak ada cakap kalau jadi apa-apa, nanti minta mak cik uruskan doa selamat, saya fikir, ingat doa selamat apabila kami selamat pulang nanti, saya cakap awal lagi, jangan fikir, rupanya baru saya sedar apa dimaksudkan emak.

“Selepas pemergian emak, wang itu ibu saudara saya sudah uruskan untuk buat majlis tahlil buat emak,” katanya sambil bersyukur, semua urusan pengebumian jenazah ibunya oleh Tabung Haji (TH) berjalan lancar dan sebagai waris dia dibenarkan turut serta sepanjang masa sehingga ke Tanah Perkuburan Al-Syarayea.

Jamaliah dan Muhamad Haikal berlepas ke Mekah pada 23 Mei lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini dan dijangka pulang 5 Julai depan dari Madinah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN