Nilai semula struktur kewangan Islam secara menyeluruh - PM

Nilai semula struktur kewangan Islam secara menyeluruh – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem kewangan Islam perlu dinilai secara menyeluruh termasuk memperkukuh aspek tadbir urus dan dasar makroekonomi yang jelas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penilaian itu bagi memastikan ia benar-benar menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Malah jelas beliau, pencapaian semasa dalam sektor perbankan dan kewangan Islam tidak boleh menjadikan pemain industri selesa kerana masih banyak persoalan mendasar yang belum dijawab.

“Benar, kita telah capai kejayaan asas di peringkat awal, tetapi sudah tiba masa kita menilai semula premis utama dalam kewangan Islam. 

“Ia bukan sekadar membebaskan sistem daripada riba, tetapi juga memastikan ia selari dengan maqasid syariah, keadilan, pemampanan dan nilai kemanusiaan,” katanya.

Beliau menyampaikan ucap tama pada Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Kajian dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-RISE) di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara kelemahan ketara dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam ialah gagal memberi perhatian kepada tadbir urus yang baik dan dasar makroekonomi yang menyokong pertumbuhan serta pembangunan mampan.

“Kita tidak boleh anggap kewangan Islam boleh berfungsi tanpa tadbir urus yang betul. Tanpa dasar ekonomi yang jelas dan telus, kita akan terus gagal menarik pelaburan domestik dan asing secara mampan.

“Kerana itulah teras utama dalam gagasan Madani bermula dengan kemampanan. Kemampanan menuntut adanya kejelasan dalam dasar dan tadbir urus.

“Kejelasan ini penting untuk mengelakkan ketirisan serta membanteras rasuah yang berleluasa kerana hakikatnya negara-negara Islam bukanlah miskin,” katanya.

Katanya lagi, Malaysia perlu meneroka strategi lebih menyeluruh untuk menerajui industri halal global yang dianggarkan mencecah nilai trilion dolar, dan tidak boleh terus berpuas hati sekadar menjadi pusat pensijilan halal. 

Jelas Anwar, negara perlu melangkah lebih jauh dengan membina kerjasama strategik dan usaha sama rentas sempadan, termasuk melibatkan syarikat Malaysia dalam projek halal di negara luar seperti China, Vietnam dan Poland.

“Apa maknanya jika kita hanya keluarkan sijil halal tetapi gagal meneroka pasaran baharu? Kita perlu libatkan industri tempatan dalam usaha sama, supaya ada kepentingan ekonomi yang saling menguntungkan.

“Agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu digerakkan bersama pihak lain seperti HRD Corp bagi merangka latihan, penyelidikan dan dasar yang lebih menyeluruh untuk membangunkan ekosistem halal secara mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×