MASJID sebagai institusi ibadah dan pusat pembangunan masyarakat Islam memiliki kedudukan yang amat mulia dalam peradaban umat.
Selain menjadi tempat solat dan pengajian, masjid turut menjadi medan pengumpulan dana awam sama ada melalui derma, infak, fidyah, zakat, mahupun kutipan khas. Justeru, tadbir urus kewangan masjid yang telus, cekap dan berintegriti adalah keperluan mutlak demi memelihara maruah institusi ini serta kepercayaan umat terhadap pihak pengurusannya.
Kebimbangan terhadap pengurusan kewangan masjid, meskipun melibatkan kes terpencil tetap memberi kesan besar kepada imej agama.
Maka, inisiatif memperkasakan sistem pemantauan, latihan, serta perundangan berkaitan pengurusan masjid wajar dipandang serius semua pihak khususnya pihak berkuasa agama dan pertubuhan masyarakat sivil seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).
REALITI DI LAPANGAN
Berdasarkan pelbagai perbincangan dan aduan yang sampai ke pengetahuan MCW, antara isu utama yang dikenal pasti termasuklah:
Ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan kewangan sedia ada, meskipun dibangunkan jabatan agama negeri.
Tiada audit dalaman atau luaran secara berkala, menyebabkan kelemahan tidak dikesan awal.
Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang tanpa latihan formal kewangan, menjadikan mereka terdedah kepada kesilapan pengurusan dan keputusan tidak telus.
Perolehan perkhidmatan dan pembinaan tanpa garis panduan berstruktur, berpotensi membuka ruang kepada konflik kepentingan atau ketirisan.
Ketiadaan sistem digital yang seragam untuk rekod dan pemantauan kutipan serta perbelanjaan.
Isu-isu ini bukannya menggambarkan kelemahan total semua masjid, tetapi cukup menjadi peringatan yang pengawasan berasaskan sistem adalah lebih utama daripada kepercayaan kepada individu semata-mata.
PERANAN PIHAK BERKUASA AGAMA
Pihak berkuasa agama negeri mempunyai tanggungjawab moral dan pentadbiran untuk memastikan institusi masjid di bawah seliaan mereka diurus secara berhemah dan profesional. Antara cadangan tindakan segera yang boleh diambil adalah:
Mewajibkan laporan kewangan disediakan dan dihantar setiap suku tahun oleh semua masjid, dengan format seragam.
Melantik juruaudit bebas untuk mengaudit kewangan masjid secara tahunan, sekurang-kurangnya bagi masjid utama yang mempunyai kutipan tinggi.
Menggantung serta merta Jawatankuasa Masjid yang gagal mematuhi kehendak kewangan dan melantik pentadbiran sementara.
Menguatkuasakan pematuhan kepada garis panduan perolehan, termasuk hanya melantik kontraktor yang diluluskan panel jabatan agama.
Mewujudkan latihan berkala dan modul pensijilan kepada semua AJK masjid baharu, terutamanya dalam aspek pengurusan, akaun dan integriti.
Langkah ini tidak harus dilihat sebagai usaha menghukum, tetapi sebagai intervensi profesional demi memperkasa institusi masjid dan melindungi reputasinya.
MENYOKONG MELALUI KAJIAN DAN LATIHAN
MCW sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan dalam pencegahan rasuah dan promosi integriti bersedia menjadi rakan strategik kepada pihak berkuasa agama. MCW tidak mengambil alih peranan siasatan atau penguatkuasaan, tetapi berupaya menyumbang melalui:
Penyelidikan dan kajian lapangan berkenaan tahap integriti dan tadbir urus kewangan masjid di beberapa negeri terpilih, bagi mengenal pasti isu sebenar dan menilai keberkesanan SOP sedia ada.
Pembangunan Modul Latihan Tadbir Urus Masjid, yang merangkumi aspek pengurusan kutipan, perolehan, rekod perakaunan, audit dalaman serta pemantauan masyarakat.
Cadangan pembinaan sistem berkomputer rekod kewangan masjid, yang boleh dimiliki dan dikendalikan oleh jabatan agama negeri.
Penganjuran bengkel pengurusan dan integriti masjid di peringkat daerah, dengan kerjasama pihak berkuasa agama dan pemimpin komuniti setempat.
Penerbitan manual Panduan Cekap Pengurusan Masjid, yang disusun berdasarkan dapatan kajian dan keperluan sebenar komuniti masjid.
Dengan peranan yang jelas dan fokus, MCW berupaya menyumbang kepada pembangunan tadbir urus masjid tanpa menyentuh sensitiviti agama atau campur tangan dalam pentadbiran harian masjid.
KEPENTINGAN SISTEM DAN KETELUSAN
Apa yang paling utama ialah keperluan membina sistem yang melindungi, bukan sekadar mempercayai individu. Walau seikhlas mana pun seorang AJK masjid, tanpa sistem kawalan dan ketelusan, ruang untuk salah urus tetap ada. Justeru:
Semua transaksi perlu direkod secara digital dan telus.
Kutipan perlu direkod serta-merta dan disemak oleh lebih daripada seorang pegawai.
Akaun bank masjid tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi walau untuk sementara.
Setiap belanja perlu disokong dengan dokumen dan disahkan oleh sekurang-kurangnya dua pihak.
Ini adalah prinsip asas tadbir urus yang diterima di mana-mana organisasi, termasuk institusi agama.
Kesimpulannya, masjid adalah rumah Allah dan pengurusan harta masjid adalah amanah yang amat berat. Ia tidak boleh dipermainkan, disalah guna, atau dibiarkan lemah tanpa tindakan. Dalam dunia moden yang semakin mencabar, institusi masjid juga perlu bergerak ke hadapan, bukan hanya dari segi fungsi dakwah dan sosial, tetapi juga dalam aspek integriti, ketelusan serta akauntabiliti.
MCW percaya kerjasama antara pihak berkuasa agama, NGO dan masyarakat mampu membina sistem pengurusan masjid yang bukan sahaja bebas dari penyelewengan, tetapi menjadi contoh terbaik kepada institusi awam lain.
Masjid harus dilihat bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga lambang kecemerlangan pengurusan Islam yang profesional dan berwibawa.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)










