KUANTAN: Demi minat dan cita-cita anak bongsunya menjadi pelumba profesional, seorang bapa, Mohd. Hamirul Aliff Abd. Halim, 33, sanggup berulang-alik dari Kuantan ke Terengganu hampir setiap minggu untuk memberi sokongan dan memastikan sesi latihan tidak terganggu.
Menurut Mohd. Hamirul Aliff, segalanya bermula apabila anaknya, Al-Adam Mikail, 10, menunjukkan minat luar biasa terhadap sukan permotoran selepas menyertai Klinik Pocket Bike di Serambi Teruntum di sini.
“Masa itu dia cuma cuba-cuba. Bila tengok dia boleh kendalikan motor kecil itu, saya mula bawa dia masuk perlumbaan. Pada awalnya hanya dapat tempat kelima dan kelapan, tapi daripada situ saya nampak dia makin meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di Sungai Isap di sini.
Minat mendalam disusuli usaha gigih akhirnya membuahkan hasil apabila Al-Adam Mikail dinobatkan Juara Keseluruhan kategori 110cc dalam kejohanan SIC Ohvale Junior Championship 2024, bersaing dengan 15 peserta lain.
Kini, pelumba muda itu menyertai kategori 160cc MiniGP, dan sudah mencatatkan keputusan cemerlang dalam dua pusingan awal dengan memperoleh tempat pertama dan kedua yang diadakan di Sepang dan Beranang, Selangor.
“Insya-Allah, kalau berjaya dalam tiga lagi pusingan termasuk di Tangkak, Johor nanti, Al-Adam Mikail berpeluang mewakili Malaysia ke kejohanan dunia di Sepanyol, di bawah tajaan ZK Racing,” jelas Mohd. Hamirul.
Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi ketika ini ialah ketiadaan litar latihan di Kuantan.
“Kami pernah guna kawasan lapang berhampiran dewan, tetapi ada penduduk yang merungut bising. Akhirnya saya terpaksa berulang ke Litar Gong Badak di Kuala Terengganu untuk pastikan Al-Adam Mikail dapat latihan secukupnya bersama rakan sepasukan,” katanya.
Tambahnya, kos latihan, tayar dan yuran kejohanan yang mencecah RM6,800 untuk lima pusingan menjadi beban utama, namun sedikit sebanyak ditampung melalui tajaan ZK Racing dan bantuan kerajaan negeri.
“Al-Adam Mikail baru dua tahun dalam kategori FIM dan SIC, tapi Alhamdulillah, sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan banyak membantu dari segi sokongan dan pengiktirafan kokurikulum,” ujarnya.
Sementara itu, Al-Adam yang bercita-cita menjadi pelumba terkenal seperti Hakim Danish, berkata, dia akan terus berusaha gigih demi menggapai impiannya. – UTUSAN











