PETALING JAYA: Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyelaraskan bantuan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas bas di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Perak.
Kemangan itu meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sementara 27 lagi cedera.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, musibah menyayat hati itu yang sering kali berulang seharusnya menjadi peringatan buat semua pihak agar sentiasa berhati-hati dan tidak terburu-buru mengejar destinasi.
“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudian menzahirkan perasaan dukacita setelah menerima perkhabaran nahas tragis itu.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta laporan penuh daripada semua agensi berkaitan tragedi itu bagi tindakan susulan yang sewajarnya, selain memastikan siasatan berjalan dengan lancar.
“Justeru, saya menyeru agar semua pihak dapat bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi melancarkan siasatan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan bersedih atas insiden tragis yang meragut 15 nyawa yang dipercayai pelajar UPSI, yang disifatkan sebagai satu dugaan besar bagi keluarga mangsa dan negara.
“Sebagai seorang bapa, saya amat terkesan dengan kejadian ini. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi saat yang sukar ini.
“Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Saya juga mendoakan agar semua mangsa yang sedang menerima rawatan segera pulih dan diberi kesembuhan sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN










