'Sekeping roti sudah cukup buat kami'

‘Sekeping roti sudah cukup buat kami’

KANAK-KANAK Palestin menunggu makanan diedarkan di pusat bantuan di Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Selama dua tahun berturut-turut Aidiladha tidak dapat diraikan di Gaza, malah penduduknya juga tidak mengimpikan menjamah daging korban sebaliknya sekeping roti sudah dianggap rezeki besar.

Sambutan Aidiladha yang bermula semalam tidak membawa sebarang kelegaan buat mereka yang menggelar serangan ini sebagai ‘perang kemusnahan dan genosid besar-besaran’.

“Dahulu, saya belikan baju baharu dan mainan untuk anak-anak setiap kali Aidiladha tiba. Itu waktu paling gembira buat kami. Tetapi sekarang, mereka cuma minta roti.

“Bukan manisan, bukan mainan, cuma sesuatu untuk dimakan,” kata bapa kepada empat anak berusia 37 tahun, Hussam Abu Amer kepada wartawan The New Arab di atas jubin hangus yang dahulunya menempatkan ruang tamu rumahnya di Gaza City.

Hussam melarikan diri dari kejiranan Zeitoun selepas serangan udara Israel memusnahkan rumahnya, membunuh beberapa ahli keluarga dan menghancurkan kenangan puluhan tahun di bawah runtuhan konkrit itu.

Kini, dia tinggal dalam khemah sementara berhampiran sebuah sekolah yang musnah, dikelilingi ratusan keluarga pelarian lain.

“Tahun lepas saya berjanji kepada anak-anak, perang ini akan tamat sebelum Aidiladha yang seterusnya, dan kita akan kembali hidup seperti dahulu. Saya tidak tahu yang saya sudah menipu mereka. Tahun ini saya tidak mahu berjanji lagi.

“Dahulu, saya lelaki yang mampu menyediakan dan melindungi. Sekarang saya hanya bercerita dongeng waktu malam untuk mengalihkan perhatian anak-anak daripada bunyi letupan dan perut kosong mereka,” tambahnya.

Seperti kebanyakan rakyat Gaza, Hussam sudah menguburkan begitu ramai ahli keluarganya hingga dia mengakui tidak punya airmata untuk meratapi mereka.

Di tengah Gaza City, kawasan sekitar pasar Sheikh Radwan kini berubah menjadi kem pelarian sementara dengan sampah sarap membusuk dan tangisan kanak-kanak bergema meminta makanan.

“Kini tiada lagi hiasan, tiada manisan, dan tiada binatang korban.

“Saya tak benarkan anak-anak melihat telefon saya. Saya tidak mahu mereka lihat gambar sambutan Aidiladha di negara lain kerana pasti mereka akan tanya soalan yang saya sendiri tidak mampu menjawabnya,” kata seorang penduduk Gaza, Majed Samaha kepada TNA.

Majed yang dahulunya seorang juruelektrik, kini bergantung sepenuhnya kepada makanan kebajikan yang tidak menentu.

Warga emas, Tawfiq Zafir, 70, berjalan tempang menyusuri runtuhan tidak jauh dari situ. Sebelum perang, dia memiliki kedai kasut yang terkenal di Jalan Al-Nasr, namun kini semuanya musnah.

“Ini Aidiladha kedua kami di bawah hujan bom. Saya kehilangan kedai, rumah, dan impian,” katanya.

Dalam budaya yang melihat daging sebagai simbol kemewahan dan perayaan, Gaza kini berdepan kekurangan melampau.

Sejak sekatan Israel diperketatkan pada bulan Mac lalu, tiada satu pun penghantaran haiwan korban dibenarkan masuk, malah serangan udara dan sekatan turut memusnahkan ladang ternakan tempatan.

“Kami sudah berbulan tidak nampak daging. Saya sembelih biri-biri terakhir saya awal Ramadan lalu. Ayam pun sangat sukar didapati dan dijual dengan harga yang tidak masuk akal.

“Orang ramai tidak lagi menjalankan ibadah korban kambing tetapi mereka mengorbankan maruah dan impian,” kata seorang tukang sembelih dari Gaza Utara yang kini berpindah ke selatan, Abu al-Abd al-Attar.

Umm Mahmoud, ibu kepada empat anak di Khan Younis, pula berkata, keluarganya hanya makan kacang dal kering selama beberapa minggu.

“Dulu kami mengira hari menunggu Aidiladha. Sekarang kami cuma berdoa dapat roti dan air bersih,” katanya.

Usaha perantara dari Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) untuk mendamaikan Hamas dan Israel masih buntu dan rundingan tersekat akibat tuntutan utama yang saling bercanggah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×